Ismail Sabri akan dipanggil semula kemuka dokumen isytihar aset

KOTA KINABALU - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tetap akan dipanggil semula ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dalam tempoh dua minggu pihaknya masih belum mengemukakan dokumen yang diperlukan agensi tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, peringkat fasa pertama siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu telah dilaksanakan dan kini beralih kepada fasa seterusnya untuk dipanggil semula dalam tempoh dua minggu.
"Sekarang kita akan memanggil beliau lagi. Dalam tempoh terdekat saya sudah arahkan dalam tempoh dua minggu. Beliau akan ditanya pula berhubung pengisytiharan harta yang masih belum selesai lagi dan beliau telah diminta untuk membekalkan dokumen tertentu untuk menyokong sebarang pembelaan beliau.
"Kita sedang menunggu dokumen berkenaan tapi apa-apa pun saya telah memberi kenyataan bahawa sekiranya sampai tempoh dua minggu masih lagi tidak dibekalkan dokumen, beliau akan dipanggil untuk memperjelaskan antara lain tentang dokumen berkenaan kenapa begitu lambat dan sebagainya.
"Kami tidak boleh menunggu begitu lama, jadi tanggungjawab beliau sama ada boleh atau tidak kita perlu tanya," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Cakna Rasuah SPRM bersama Media Sabah di sini pada Khamis.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bekas Perdana Menteri kesembilan itu dijangka dipanggil semula oleh SPRM dalam beberapa minggu lagi.
Difahamkan, proses merekod keterangan itu akan memasuki fasa yang menumpukan pengisytiharan harta.
Ismail Sabri kali terakhir dirakam keterangan pada 24 Mac lalu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 3 Mac, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah 'safe house' berikutan serbuan yang dilakukan pihaknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!