Pahang bersedia realisasikan pusat rujukan jawi - Wan Rosdy

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang menyokong sepenuhnya untuk merealisasikan penubuhan pusat rujukan jawi sebagaimana titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, saranan Al-Sultan Abdullah amat bertepatan dengan usaha memperkasa warisan bangsa dan memperkukuh jati diri umat Islam di negeri ini.

"Patik menyambut baik hasrat murni ini dan akan memberi sokongan sepenuhnya bagi merealisasikan penubuhan Pusat Rujukan Jawi Negeri Pahang.

"Semoga dengan penubuhan pusat ini agenda memartabatkan tulisan Jawi diperkasa sebagai teras pendidikan, rujukan dan pemeliharaan tulisan jawi," katanya dalam satu hantaran di Facebook milik beliau pada malam Isnin.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan hasrat menubuhkan Pusat Rujukan Jawi Negeri sebagai teras pendidikan, rujukan dan pemeliharaan tulisan Jawi.

Menerusi laman Facebook Kesultanan Pahang, baginda menyarankan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menubuhkan satu badan atau institusi khusus bagi melaksanakan kursus, latihan dan pentauliahan Jawi secara rasmi.

Baginda juga bertitah agar semua pihak yang berkaitan memberi komitmen berhubung hasrat itu kerana tulisan Jawi merupakan warisan besar Melayu dan simbol peradaban Islam yang perlu terus dipelihara.

"Agenda Jawi ini tidak boleh dianggap sebagai sisipan atau pelengkap semata-mata sebaliknya mesti dijadikan komponen penting dalam membina negeri yang bertamadun dan beridentiti," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!