Bilangan pelajar lanjut pengajian ke Jordan akan ditambah - Wan Rosdy

KUANTAN – Ruang kerjasama dalam bidang pendidikan antara Pahang dan Jordan telah dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pengajian Tinggi dan Kajian Saintifik Jordan, Prof Dr Azmi Mahmoud Mahafzah pada Ahad lalu.
Wan Rosdy berkata, bilangan pelajar dari Pahang ke Jordan akan ditambah, termasuk dalam bidang-bidang kritikal seperti perubatan, tertakluk kepada persetujuan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Menurutnya, kerajaan negeri juga prihatin terhadap isu pembiayaan pendidikan yang dihadapi oleh anak-anak Pahang di Jordan dan di negara-negara lain.
“Justeru, Yayasan Pahang selaku agensi bertanggungjawab diminta untuk mengkaji semula jumlah pembiayaan dari masa ke masa.
“Saya sendiri dan kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan cadangan daripada pelbagai pihak, termasuk usaha untuk menawarkan tempat kepada pelajar asing di institusi pendidikan milik kerajaan negeri,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Kenyataan itu antara lain sebagai maklum balas terhadap harapan dan cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini.
Wan Rosdy menambah, kerajaan negeri akan terus mempromosikan dan mempertingkatkan kemudahan sedia ada di institusi pendidikan agar memenuhi piawaian global.
“Marilah kita menjadikan kecemerlangan sebagai agenda utama negeri. Pahang 1st, Maju Terus Pahang,” ujarnya.
Tuan Ibrahim sebelum ini merakamkan ucapan tahniah kepada Wan Rosdy atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam Ekonomi Islam dan Perbankan daripada Universiti Yarmouk, Jordan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu berharap penganugerahan tersebut dapat mempereratkan hubungan dua hala antara universiti-universiti di Jordan dan institusi pendidikan di Pahang.
Menurutnya, ia juga akan membuka lebih banyak ruang kerjasama bermanfaat, khususnya dalam usaha menghantar lebih ramai pelajar Pahang melanjutkan pengajian ke Jordan.
Pada masa sama, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan peningkatan bantuan pendidikan berikutan kos sara hidup yang semakin tinggi di Jordan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

