Tuduhan Saifuddin berkaitan REE jejaskan reputasi saya - Sanusi

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu Mahkamah Tinggi Alor Setar bahawa tuduhan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terhadapnya pada 2023 menjejaskan reputasi dan kedudukan politiknya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata, tuduhan mencuri mineral unsur nadir bumi (REE) dan menyeleweng RM1.6 bilion dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) telah menyebabkan beliau kehilangan undi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah 2023.
Beliau memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee ketika memberi keterangan dalam saman fitnah terhadap Saifuddin pada Isnin.
Muhammad Sanusi jelaskan, kenyataan yang dibuat pada 15 Julai 2023 itu tuduhan serius dan memberi kesan ketara kerana ia dibuat oleh Menteri Dalam Negeri.
"Selepas pilihan raya, walaupun saya menerima jumlah undi yang tinggi, jika kenyataan itu tidak dibuat, majoriti saya mungkin 30,000 dan bukannya 16,000. Kesannya berterusan sehingga hari ini," katanya ketika ditanya oleh peguamnya.
Muhammad Sanusi juga tidak bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa tuduhan tersebut bukan memfitnahnya.
Beliau memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan tersebut melalui Faizi and Associates di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 3 Ogos 2023.
Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan didakwa memfitnahnya dengan tuduhan menyalahgunakan dana daripada Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).
Menurut pendakwaan itu, Saifuddin didakwa membuat kenyataan fitnah semasa berucap pada Program Jelajah Perpaduan dan majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Guar Chempedak di Yan pada 15 Julai 2023 sekitar 8.30 malam.
Ucapan itu adalah sebahagian daripada kempen politik PH dan Barisan Nasional (BN) menjelang PRN pada Ogos.
Muhammad Sanusi mendakwa Saifuddin membuat komen fitnah menuduh beliau sebagai Menteri Besar dan wakil Menteri Besar Incorporated (MBI) mencuri REE di Kampung Chong, Sik dan mendapat liputan media meluas.
Sebelum itu, pihak plaintif memanggil lima saksi untuk memberi keterangan termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Muhamad Sobri Osman.
Muhammad Sanusi diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud, Yusfarizal Yussof, Mohd Faizi Che Abu dan Nur Iffah Hizwani Omar, manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Navpreet Singh, William Leong dan Sakina Siraj.
Prosiding akan disambung semula pagi esok, dan dijangkakan Saifuddin dan seorang lagi saksi akan memberi keterangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!