Penutupan kilang Continental di Alor Setar tiada kaitan kerajaan negeri - Sanusi

Muhammad Sanusi.
Muhammad Sanusi.
A
A
A

ALOR SETAR - Penutupan kilang tayar Continental di Alor Setar tiada kaitan dengan kerajaan negeri mahupun isu politik, sebaliknya merupakan keputusan perniagaan semata-mata.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan mengaitkan pemindahan operasi kilang tersebut dengan dakwaan kononnya pelabur lari daripada negeri ini kerana pentadbiran kerajaan negeri adalah tidak berasas dan bermotifkan politik.

Menurutnya, tindakan pihak tertentu yang cuba mempolitikkan isu itu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan rakyat.

“Saya harap mereka yang sebar fitnah ini insaf dan beringat akan balasan di akhirat.

"Fitnah ini menyesatkan orang ramai. Dalam dunia moden ini, hujah sepatutnya dilawan dengan hujah, bukan dengan naratif palsu.

“Continental pun sudah beberapa kali jumpa saya sebelum ini. Penutupan ini adalah urusan bisnes, bukan sebab mereka benci saya atau kerajaan negeri,” katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Sebelum ini, sebuah portal media dilaporkan cuba mengaitkan penutupan kilang tayar Continental dengan dakwaan pelabur lari dari Kedah disebabkan dasar kerajaan negeri

Pada Isnin, dalam satu kenyataan, Continental memaklumkan akan menghentikan operasi pembuatan tayar di kilangnya di Alor Setar, menjelang hujung tahun ini.

Keputusan menutup kilang tayar yang memiliki seramai 950 pekerja itu merupakan hasil semakan perniagaan secara terperinci untuk melindungi daya saing serta prestasi perniagaan syarikat di rantau Asia-Pasifik (APAC).

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi berkata, 70 peratus produk kilang tersebut adalah untuk kereta penumpang dan keputusan berpindah ke Thailand dipercayai berdasarkan pertimbangan kos serta keperluan operasi global syarikat itu.

“Continental buat tayar untuk kereta penumpang. Saingan daripada China sangat kuat dari segi harga dan teknologi. Malah, syarikat Jerman sendiri sekarang fokus kepada tayar berteknologi tinggi seperti kereta lumba dan industri berat.

“Ini semua tentang bisnes, bukan politik. Mana ada kilang tayar terlibat politik namun ada pihak suka kelirukan orang ramai. Tidak adil lah untuk kita, kita pun kalau boleh mahu mereka kekal.

“Saya malas layan tohmahan tetapi penjelasan perlu dibuat sebab ada yang percaya pada maklumat tidak tepat,” katanya.

Beliau turut mendedahkan, terdapat syarikat baharu yang menyatakan komitmen untuk mengambil alih lokasi kilang berkenaan, namun perbincangan masih dijalankan secara tertutup atas permintaan pelabur.

“Syarikat baharu itu sudah datang dan nyatakan minat. Cuma mereka minta perkara ini dirahsiakan dahulu kerana persaingan dalam dunia perniagaan sangat sengit.

“Bisnes sekarang pun macam politik, strategi tak boleh bagi tahu awal, kalau dia dedah kelak akan ada tindakan daripada pesaing,” jelasnya

Menurutnya, pengoperasian dan pelaburan industri berat seperti kilang tayar melibatkan dasar kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri hanya bertanggungjawab dalam aspek penyediaan tanah dan sokongan fasiliti.

Menjawab tuduhan kononnya beliau tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik, Muhammad Sanusi jelaskan, sepanjang menerajui Kedah, beliau mempengerusikan lebih 250 mesyuarat Exco selain mengetuai 22 jawatankuasa negeri dan ia berjalan lancar.

“Saya hanya main kabaddi dua kali sahaja. Tapi orang kata saya banyak main terbaharu Chingay, itu tak betul,” katanya berseloroh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!