Suspek bunuh jemaah di masjid Perancis ditahan di Itali

Seorang penunjuk perasaan memegang plakad bertulis "Keadilan untuk Aboubakar, Islamofobia membunuh" semasa perhimpunan bagi memperingati Aboubakar, jemaah yang dibunuh di sebuah masjid di La Grand-Combe, Paris. - AFP
Seorang penunjuk perasaan memegang plakad bertulis "Keadilan untuk Aboubakar, Islamofobia membunuh" semasa perhimpunan bagi memperingati Aboubakar, jemaah yang dibunuh di sebuah masjid di La Grand-Combe, Paris. - AFP
A
A
A

NIMES - Seorang lelaki yang disyaki menikam mati seorang jemaah masjid berketurunan Mali di Perancis telah menyerah diri kepada pihak polis di Itali selepas tiga hari diburu, kata pendakwa raya..

Mangsa, Aboubakar Cisse, dipercayai diserang ketika sedang bersolat di sebuah masjid di perkampungan La Grand-Combe, wilayah Gard, selatan Perancis pada Jumaat lalu.

Suspek, warga Perancis kelahiran Lyon pada tahun 2004 dikenali sebagai Olivier A, dipercayai menikam mangsa berulang kali sebelum merakam mangsa yang sedang kesakitan sambil menghina Islam.

Menurut pendakwa raya Abdelkrim Grini, suspek menyerahkan diri di sebuah balai polis di Pistoia, berhampiran Florence, Itali pada Ahad.

"Ini satu perkembangan yang sangat memuaskan. Suspek akhirnya tiada pilihan selain menyerah diri selepas tindakan pantas pihak berkuasa," katanya.

Seramai 70 anggota polis dikerahkan memburu suspek yang dianggap "sangat berbahaya".

Siasatan mendapati sebelum kejadian, suspek dan mangsa sempat bersolat bersama. Dalam rakaman video selepas serangan, suspek dilihat berbangga dengan tindakannya dan menghina ALLAH.

Kejadian ini mengejutkan rakyat Perancis, dengan Presiden Emmanuel Macron menegaskan bahawa "tiada tempat untuk kebencian agama di Perancis", manakala Perdana Menteri Francois Bayrou mengutuk insiden itu sebagai jenayah Islamofobia.

Artikel Berkaitan:

Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau, memuji tindakan pantas pihak berkuasa tetapi dikritik kerana tidak melawat lokasi kejadian.

Beliau juga mengarahkan kawalan keselamatan di masjid-masjid seluruh negara dipertingkatkan.

Suspek yang berasal dari keluarga Bosnia, sebelum ini tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau pengawasan pihak berkuasa.

Dalam perkembangan sama, lebih 1,000 orang berhimpun dalam satu perarakan senyap pada Ahad untuk memperingati mangsa, bermula dari Masjid Khadidja ke dewan bandar.

Di Paris, ratusan lagi berhimpun, termasuk pemimpin pembangkang Jean-Luc Melenchon, yang menuduh kerajaan membiarkan iklim Islamofobia berkembang.

Macron turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan komuniti Muslim di negara itu, sambil menegaskan bahawa "perkauman dan kebencian berasaskan agama tidak akan sesekali diterima di Perancis". - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!