Israel-AS serang Iran: Trump beri kata dua kepada Iran 'letak senjata atau maut'

Donald Trump
Donald Trump
A
A
A

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump memberi kata dua kepada Iran, sama ada meletak senjata atau menempah maut.

Trump berkata demikian menerusi satu perkongsian video di platform Truth Social, ketika mengumumkan operasi ketenteraan besar-besaran di Iran hari ini.

"Kami mahu memusnahkan angkatan laut mereka. Kami akan memastikan proksi pengganas di rantau itu tidak lagi mampu menggugat kestabilan serantau atau dunia.

"Mereka sebelum ini menggunakan IED atau bom tepi jalan yang telah mencederakan dan membunuh ribuan orang, termasuk ramai rakyat AS.

"Kami akan memastikan Iran tidak memperoleh senjata nuklear. Mesejnya sangat mudah, mereka tidak akan pernah memiliki senjata nuklear,” dakwa Trump dengan nada angkuh.

Menurut Trump, operasi ketenteraan di Iran dilakukan demi kepentingan jangka panjang, walaupun mengakui berdepan risiko kehilangan nyawa anggota tentera AS.

“Nyawa wira AS mungkin terkorban, itu sering berlaku dalam peperangan, tetapi kita melakukan ini untuk kemaslahatan sejagat, ini adalah misi yang mulia,” kata Trump lagi.

Trump menyeru anggota Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan angkatan keselamatan negara itu supaya meletakkan senjata, dengan janji imuniti akan diberikan kepada mereka yang berbuat demikian.

“Kami berulang kali cuba membuat perjanjian. Mereka (Iran) mahu melakukannya, kemudian tidak mahu melakukannya. Mereka tidak tahu apa yang berlaku, mereka hanya mahu melakukan kejahatan.

Artikel Berkaitan:

"Akhirnya Iran menolak, seperti yang dilakukannya sebelum ini selama beberapa dekad. Mereka menolak setiap peluang untuk meninggalkan cita-cita nuklear mereka, kini AS tidak boleh lagi bertolak ansur,” kata Trump.

Washington dan Teheran dilaporkan mengadakan beberapa siri rundingan dalam beberapa minggu kebelakangan ini berhubung program nuklear Iran.

Rundingan terbaharu berlangsung pada Khamis lalu, namun berakhir tanpa sebarang persetujuan dicapai.

Sebelum ini, Israel dan AS berulang kali memberikan amaran serangan lanjut akan dilancarkan sekiranya Iran terus mengembangkan program nuklear dan peluru berpandunya. - Awani 

Ringkasan AI

  • PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump memberi amaran keras kepada Iran supaya meletak senjata atau menghadapi kematian
  • Trump mengumumkan operasi ketenteraan besar-besaran di Iran dengan tujuan memusnahkan angkatan laut Iran dan menghalang proksi pengganas
  • Trump menegaskan matlamat operasi itu adalah untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear
  • Operasi ketenteraan tersebut dijalankan demi kepentingan jangka panjang walaupun berisiko kehilangan nyawa anggota tentera AS
  • Rundingan antara Washington dan Teheran berakhir tanpa persetujuan, dengan amaran serangan lanjut dari AS dan Israel jika Iran terus mengembangkan program nuklear dan peluru berpandu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!