Israel-AS serang Iran: Rakyat Israel panik diserang balas

Orang ramai berpusu-pusu mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Nablus, Tebing Barat yang diduduki pada 28 Februari 2026. Foto: AFP
Orang ramai berpusu-pusu mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Nablus, Tebing Barat yang diduduki pada 28 Februari 2026. Foto: AFP
A
A
A

JERUSALEM - Rakyat Israel bergegas menuju ke tempat perlindungan bom di seluruh negara pada Sabtu selepas siren kecemasan dibunyikan bagi memberi amaran mengenai serangan peluru berpandu balas Iran susulan serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Teheran.

Sekitar jam 10.30 pagi waktu tempatan, pihak berkuasa Israel mengarahkan penduduk di Jerusalem supaya berlindung di tempat selamat.

Tidak lama kemudian, beberapa bunyi letupan kedengaran di ruang udara bandar itu ketika sistem pertahanan udara berusaha memintas peluru berpandu yang dilancarkan. Amaran kedua dikeluarkan kira-kira jam 11.15 pagi, menandakan ancaman berterusan.

Serangan ini mengimbau kembali situasi pada Jun lalu apabila Israel melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear dan peluru berpandu Iran, sekali gus mencetuskan perang singkat selama 12 hari yang turut melibatkan AS.

Di Jerusalem Timur, jalan raya kelihatan lengang apabila penduduk segera mencari perlindungan.

Di sebuah sekolah awam di pusat bandar, puluhan orang berkumpul di dalam tempat perlindungan bom.

Seorang individu berlindung ketika siren amaran berbunyi di Baitulmaqdis pada 28 Februari 2026, susulan pengumuman bahawa Israel melancarkan “serangan pencegahan awal” terhadap Iran. Foto: AFP
Seorang individu berlindung ketika siren amaran berbunyi di Baitulmaqdis pada 28 Februari 2026, susulan pengumuman bahawa Israel melancarkan “serangan pencegahan awal” terhadap Iran. Foto: AFP

Ada yang masih berpakaian ibadah dan memegang kitab doa kerana serangan berlaku ketika sebahagian masyarakat Yahudi sedang bersiap untuk menyambut hari Sabat.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian pelajar diarahkan pulang ke rumah, manakala beberapa komuniti ultra-Ortodoks dilaporkan tetap menghadiri rumah ibadat walaupun amaran dikeluarkan.

Di Hotel American Colony, lokasi tumpuan pelawat antarabangsa di Jerusalem, beberapa dozen tetamu berlindung di bunker bawah tanah.

Pasangan muda tempatan, Oren Mor, 26, dan Liem Katz, 21, yang berada di situ berkata mereka berharap konflik dapat dielakkan kali ini.

“Kami benar-benar tidak mahu ini berlaku,” kata Katz sambil memegang lengan pasangannya.

Mereka sepatutnya menyambut perayaan Purim pada hari itu, namun terpaksa memantau perkembangan berita di telefon masing-masing dalam keadaan cemas.

Di bandar Rehovot, selatan Tel Aviv, sebuah tempat letak kereta bawah tanah bertukar menjadi pusat perlindungan sementara apabila orang ramai turun dengan tergesa-gesa sebaik siren dibunyikan.

Tiga wanita warga emas saling berpaut untuk sokongan sambil bergerak perlahan ke sudut yang lebih terlindung.

“Oh, saya tidak merindui bunyi ini,” kata salah seorang daripada mereka, merujuk kepada bunyi amaran di telefon bimbit.

Perkembangan terbaharu ini menandakan situasi serius konflik serantau dengan risiko peningkatan ketegangan yang boleh memberi kesan lebih luas terhadap keselamatan Asia Barat. - Agensi

Ringkasan AI

  • Rakyat Israel menuju ke tempat perlindungan bom selepas siren kecemasan bunyi akibat serangan peluru berpandu balas Iran
  • Pihak berkuasa Israel mengarahkan penduduk Jerusalem berlindung kerana ancaman serangan
  • Sistem pertahanan udara Israel memintas peluru berpandu yang dilancarkan
  • Keadaan mengimbau konflik Jun lalu dimana Israel dan AS terlibat dalam perang 12 hari dengan Iran
  • Ancaman serangan ini menyebabkan kegiatan normal terganggu dan masyarakat mencari perlindungan di tempat selamat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!