Sambut baik tempoh pendek kelulusan poligami

Melaka memendekkan tempoh kelulusan poligami kepada 21 hari.
Melaka memendekkan tempoh kelulusan poligami kepada 21 hari.
A
A
A

MELAKA - Rata-rata rakyat negeri ini menyambut baik usaha kerajaan negeri memendekkan tempoh kelulusan berpoligami kepada 21 hari.

Pengerusi Masjid Nur As'Saadah, Datuk Amzah Osman berkata, langkah tersebut bukanlah untuk menggalakkan golongan lelaki berkahwin lebih daripada satu namun melancarkan urusan terutama hal berkaitan dokumentasi anak-anak pada masa akan datang.

Menurutnya, lebih penting dapat menghalang mereka yang ingin berpoligami dari mengambil jalan mudah dengan bernikah di sempadan atau menggunakan sindiket serta jurunikah yang tidak berdaftar mahupun tidak bertauliah sehingga sijil nikah tidak diiktiraf.

"Ini semua untuk kebaikan dan bukan kita hendak menidakkan atau menggalakan lelaki berkahwin lebih satu sekali gus memberi kesan tidak baik kepada wanita.

"Tetapi kalau dah ditakdirkan jodoh dan mereka ingin berpoligami maka mereka boleh teruskan harapan dan impian mereka itu daripada buat keje tak elok seperti maksiat," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Tambahnya, berharap rakyat negeri ini dapat memanfaatkan kemudahan itu dengan menggunakan saluran yang betul supaya mendapat sijil nikah yang sah oleh pejabat agama.

Peniaga, Suhara Mohd Shah,37, berkata, sekiranya lelaki berkemampuan tiada masalah untuk berpoligami dan pasti calon perlu mematuhi syarat yang ditetapkan agar mampu melaksanakan tanggungjawab dengan lebih telus.

Menurutnya, ada juga kenalannya menghadapi masalah anak tidak mempunyai sijil kelahiran dan taraf kewarganegaraan disebabkan sijil nikah yang meragukan lebih-lebih lagi apabila ibu bapa mereka mempunyai sejarah mengambil jalan pintas dengan bernikah di sempadan.

Artikel Berkaitan:

"Sudah pasti kerajaan bukan sahaja memendekkan tempoh kelulusan, malah turut membenarkan poligami sekiranya calon menepati syarat yang ditetapkan.

"Sekurang-kurangnya isteri dapat mengetahui suami mereka berpoligami berbanding menyembunyikan perkara benar biarpun pahit," katanya.

Pengusaha kedai makan, Agus Asmawi,40, berkata, usaha tersebut dapat mempermudahkan urusan poligami kepada nikah yang halal.

Katanya, sekiranya berlaku pernikahan di sempadan sudah pasti banyak masalah yang akan timbul terutama kepada anak-anak yang dilahirkan hasil daripada poligami tanpa jurnikah bertauliah itu.

"Ini dapat menggelak daripada berlakunya masalah yang tidak dijangka pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Melaka mengambil inisiatif memudahkan urusan bagi orang Islam yang ingin berpoligami dengan memendekkan tempoh kelulusan kepada 21 hari.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu merupakan satu pembaharuan dibuat kerajaan negeri, dengan kerjasama Mahkamah Syariah Melaka yang sebelum ini kelulusan poligami mengambil masa berbulan-bulan lamanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!