Anak Najib, pimpinan parti sambut baik usaha pengampunan penuh

Mohamad Nizar
Mohamad Nizar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anak sulung kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan rasa syukur dan penghargaan terhadap usaha UMNO dalam memohon pengampunan penuh bagi bapanya.

Menurut Datuk Mohamad Nizar, mereka sekeluarga sentiasa menyambut baik usaha parti dalam membela bekas Presiden UMNO itu.

“Syukur alhamdulillah. Kami sentiasa menyambut baik semua usaha UMNO untuk membela ayahanda Datuk Seri Najib. Beliau amat sayang dan setia kepada parti,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat yang membuat ketetapan agar parti itu akan terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada Najib.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha itu selaras dengan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias turut menyokong penuh keputusan tersebut dan menyatakan keyakinan bahawa proses pengampunan penuh akan berjalan lancar.

Jalaluddin
Jalaluddin

“Dalam mesyuarat itu, kita sudah berbincang panjang lebar berkaitan dengan Titah Adendum dan keputusan MKT.

Artikel Berkaitan:

“Kita harap Datuk Seri Najib terus diberikan pengadilan sewajarnya dan memastikan bahawa titah ini diputuskan segera untuk beliau mendapat tahanan rumah,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi UMNO Negeri Sembilan turut percaya masih ada ruang dan peluang untuk bekas Perdana Menteri itu melalui proses pengampunan penuh.

“Proses ini adalah kuasa sepenuhnya Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong. Ini adalah hak mutlak Seri Paduka.

“Berdasarkan aturannya, ia mestilah dimohon oleh ahli keluarga atau orang yang terlibat. Kita tak ada bincang secara lanjut tentang perkara tersebut tapi saya yakin bahawa Lembaga Pengampunan pada bila-bila masa boleh menerima permohonan untuk mendapatkan pengampunan penuh ini,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan bahawa UMNO mahu proses pengadilan dan pengampunan dapat dijalankan sebaik mungkin meskipun terdapat pihak yang tidak bersetuju.

“Jika ada yang bantah atau tidak bersetuju dengan keputusan UMNO, itu soal pandangan masing-masing.

“Bagi parti, tentulah kita mahu proses pengadilan dan pengampunan ini dapat dijalankan sebaik mungkin. Jika ada individu atau parti yang tak bersetuju, itu soal mereka,” katanya.

Mengulas mengenai penglibatan menteri dalam prosiding mahkamah, Jalaluddin menjelaskan, tiada perbincangan lanjut dibuat mengenai menteri tertentu yang akan terlibat.

Namun, beliau menegaskan bahawa mana-mana menteri UMNO bersedia memberikan kerjasama penuh sekiranya dipanggil oleh mahkamah.

“Itu keputusan oleh MKT. Sesiapa sahaja menteri daripada UMNO bersedia apabila dipanggil oleh mahkamah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!