Titah Adendum: Najib kecewa kes belum selesai, banyak sangat dolak-dalik - Shafee

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kecewa apabila prosiding berkaitan Titah Adendum yang sudah mengambil masa lebih setahun empat bulan belum selesai.
Menurut peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ia selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan Peguam Negara (AG) mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman berkaitan itu.
"Anak guam kami amat kecewa kerana setelah lebih setahun empat bulan menunggu, prosiding ini sekali lagi ditangguhkan.
"Sudah jelas bahawa titah yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memang wujud dan membolehkan Najib menjalani hukuman di rumah, bukan di penjara," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam dua ucapan ada menyebut bahawa Titah Adendum itu memang ada, namun berada dalam tangan pihak lain.
"Jika Titah Adendum itu ada, yang saya tidak faham dan klien saya Datuk Seri Najib tidak faham, kenapa berdolak-dalik tentang adanya atau tidak?.
"Isu sama ada ia sah atau tidak adalah perkara kedua. Tetapi, sekurang-kurangnya, jika Titah Adendum wujud mengapa tidak membenarkan perkara itu diterima?," soal beliau.
Tegas beliau, tindakan menyembunyikan Titah Adendum adalah tidak sah dari segi undang-undang dan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap individu tertentu berhubung perkara itu.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Shafee memberitahu, Mahkamah Persekutuan sendiri melahirkan rasa terkejut apabila dimaklumkan bahawa isu berkaitan Titah Adendum itu sudah berlarutan sejak 29 Januari 2024.
"Jadi, sudah satu tahun empat bulan perkara berkenaan, dengan sama ada Datuk Seri Najib harus meneruskan hukuman penjara beliau di rumah atau tidak. Jadi, ia melibatkan isu kebebasan asas seorang warganegara," ujar beliau lagi.
Muhammad Shafee turut menyentuh isu saksi, Roger Ng Chong Hwa telah memberi keterangan di Amerika Syarikat yang menafikan penglibatan Najib dalam skandal 1MDB.
"Roger Ng terkejut sedikit. Dia kata tidak ada langsung keterangan menunjukkan Datuk Seri Najib terlibat dalam konspirasi 1MDB," ujar beliau lagi.
Beliau menambah, keterangan tersebut penting kerana ia konsisten dengan fakta bahawa siasatan awal oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) tidak mengaitkan Najib secara langsung dalam skandal berkenaan.
Katanya lagi, kes 1MDB yang dibawa ke mahkamah di New York juga bermula hasil aduan DOJ, namun nama Najib tidak pernah dilaporkan secara jelas dalam dokumen rasmi badan penguatkuasa tersebut.
"Daripada Roger Ng sendiri, kita tahu badan-badan tertentu termasuk FBI tidak langsung mengaitkan Datuk Seri Najib di dalam skandal 1MDB di New York," menurut beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

