Polis Melaka tumpaskan sindiket proses kad debit bank untuk pasaran Jepun

MELAKA - Tindakan seorang warga Singapura yang menjadikan negeri ini sebagai lubuk menjual kad debit klon sejak hampir lima bulan lalu akhirnya berjaya dicekup pada Rabu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan yang dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka di sebuah kondominium di Tengkera, di sini, berjaya menahan dalang sindiket yang berusia 42 tahun itu.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek melakukan pemalsuan kad debit melibatkan mangsa merupakan pemilik-pemilik di Laos sebelum dijual kepada pembeli.
"Hasil risikan yang dilakukan sebelum ini mendapati suspek dipercayai memproses kad debit palsu dengan meniru data kad debit Joint Development Bank (Laos) menggunakan mesin laser.
"Kemudiannya maklumat dicetak pada kad menggunakan mesin laser dan ditampal dengan cip serta jalur magnetik sebelum diuji untuk memastikan ia boleh digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Melaka bagi Bulan April 2025 di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, pada Isnin.

Ujar beliau, beberapa barangan dirampas dalam serbuan itu termasuk set komputer, mesin pemotong laser, mesin pengimbas kad debit, telefon bimbit, kad debit Joint Development Bank (Laos) dan kad debit Bank of Monaco, selain wang tunai SGD3,378 dan RM5,500.
Katanya, dengan penemuan ini pihak polis percaya kesemua kad debit klon ini adalah untuk pasaran di Jepun yang dijual mengikut amaun yang terdapat dalam kad bank milik mangsa seperti RM20,000 dijual pada harga RM2,000.
"Kegiatan yang bermula awal tahun ini disyaki menggunakan perkhidmatan kurier dengan setiap daripadanya memiliki nilai simpanan antara 9,889,747 LAK (RM2,000) 247,275,992 LAK hingga RM50,000.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 424A Kanun Keseksaan kerana memiliki instrumen pembayaran tanpa kebenaran sah serta Peraturan 39B Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!