Sindiket bungkus dadah dalam kereta tumpas, rampasan hampir RM9 juta

JOHOR BAHRU - Lima sindiket pengedaran dadah tumpas menerusi operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor di empat daerah berbeza dengan rampasan dadah dianggarkan bernilai hampir RM9 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi khas itu dijalankan bermula 20 hingga 24 April lalu melibatkan daerah Johor Bahru Selatan, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Kluang, termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Menurutnya, kelima-lima individu yang ditahan membabitkan empat warga tempatan dan seorang warga Singapura.
"Pada 23 April, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun diberkas dalam serbuan di Jalan Kulai-Kota Tinggi melibatkan kereta jenis Honda Civic yang dipercayai menjadi stor penyimpanan dan pembungkusan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Difahamkan, kenderaan tersebut disewa dengan harga RM180 satu malam.
"Hasil serbuan itu juga polis berjaya merampas serbuk ekstasi seberat 20 kilogram bernilai RM3.35 juta serta 13 gram pil Erimin 5 bernilai RM1,000,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan April 2025, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan satu lagi cubaan menyeludup dadah jenis syabu ke negara jiran menggunakan jalan laut gagal apabila seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun diberkas berhampiran jeti di Batu Pahat.
Ujarnya, suspek turut menggunakan modus operandi sama iaitu beroperasi dari dalam kereta juga diberkas bersama rampasan syabu seberat 20.7 kilogram bernilai RM662,784.
Sementara itu, beliau berkata, dalam tiga operasi lain melibatkan daerah Johor Bahru Selatan, Kluang dan sekitar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor berjaya menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Singapura berusia lingkungan 22 hingga 47 tahun.
Pada masa sama, Kumar memaklumkan rampasan itu turut melibatkan pelbagai jenis dadah seperti syabu, serbuk ekstasi, ketamin, ganja, heroin, pil Erimin 5, pil ekstasi dan pil yaba dengan nilai keseluruhan melebihi RM5.2 juta.
Ujarnya, turut disita beberapa kenderaan, wang tunai dan barang kemas yang digunakan dalam kegiatan sindiket berkenaan.
"Semua suspek kini direman hingga 30 April untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

