Mahkamah Korea Selatan tolak permohonan lanjutkan penahanan Yoon

SEOUL - Sebuah mahkamah Korea Selatan pada Jumaat menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melanjutkan tempoh penahanan Presiden Yoon Suk Yeol melebihi tempoh asalnya, lapor Agensi Berita Yonhap.
Terdahulu, pasukan pendakwaan khas yang menyiasat dakwaan berkaitan cubaan singkat undang-undang tentera oleh Yoon telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Daerah Pusat Seoul untuk melanjutkan penahanan Yoon sehingga 6 Februari.
Permohonan itu dibuat sehari selepas Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) menyerahkan kes itu kepada pihak pendakwaan.
Pada Jumaat, Mahkamah Daerah Pusat Seoul menolak permohonan itu dengan alasan kekurangan sebab munasabah untuk meneruskan siasatan di bawah kuasa pendakwaan memandangkan kes itu telah dirujuk oleh CIO.
CIO menyerahkan kes tersebut kepada pendakwaan lebih awal kerana agensi itu tidak mempunyai mandat undang-undang untuk mendakwa seorang presiden.
Menurut undang-undang, seseorang suspek boleh ditahan sehingga 10 hari, dengan kemungkinan lanjutan 10 hari lagi. Yoon telah ditahan sejak Ahad.
Dengan penolakan mahkamah terhadap permintaan lanjutan itu, pihak pendakwaan kini menghadapi tarikh akhir yang ketat untuk menjalankan soal siasat secara bersemuka terhadap Yoon, yang setakat ini enggan bekerjasama dengan sesi soal siasat CIO.
Pihak pendakwaan dilaporkan telah menyediakan dakwaan sekiranya mahkamah menolak permohonan lanjutan itu.
Pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang sedang menyiasat Yoon atas dakwaan bahawa beliau adalah dalang di sebalik pelaksanaan undang-undang tentera pada 3 Disember yang mencetuskan kemelut politik yang belum pernah terjadi sebelum ini.
Yoon berdepan tuduhan bersubahat dengan bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun dan pihak lain untuk memulakan rusuhan dengan mengisytiharkan undang-undang tentera.
Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa dengan menghantar tentera ke Parlimen untuk menghalang ahli Parlimen daripada membatalkan dekri tersebut.
Yoon kini ditahan di Pusat Tahanan Seoul di Uiwang, selatan ibu negara, manakala perbicaraan di Mahkamah Perlembagaan juga sedang dijalankan untuk menentukan sama ada untuk mengekalkan atau menolak pendakwaannya oleh Parlimen.
Jika disahkan, Yoon akan disingkirkan daripada jawatan, menyebabkan pilihan raya presiden diadakan dalam tempoh 60 hari. Sekiranya ditolak, beliau akan dikembalikan ke jawatannya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
