Tiang buluh tiada kaitan dengan mana-mana agama, hanya pertunjukan sukan - Sanusi

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan penggunaan tiang buluh dihiasi kain segi tiga dalam satu acara sukan baru-baru ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan perayaan mana-mana agama.
Beliau berkata, tiang tersebut yang didirikan menggunakan tiga batang buluh hanya elemen statik dalam aktiviti sukan dan pertunjukan seni.

Menurutnya, ia hanya membabitkan kain berlambangkan bendera Malaysia serta dua lagi bertulis ‘Perikatan Nasional’ dan tidak mempunyai unsur berkaitan agama tertentu.
“Pegawai khas saya buat sendiri tiang buluh itu, dengan kain tiga segi yang diikat pada buluh. Semua ada tiga batang. Satu kain lambang bendera Malaysia, dua lagi bertulis Perikatan Nasional.
“Tak ada sangkut paut dengan perarakan sempena perayaan mana-mana agama. Ia hanya aktiviti sukan dan pertunjukan seni semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Muhammad Sanusi jelaskan, struktur tersebut hanyalah sebahagian daripada pertunjukan statik dan langsung tidak berkait dengan sebarang kepercayaan terhadap dewa-dewa seperti didakwa sesetengah pihak.
Beliau turut menempelak pihak yang cuba mengaitkan elemen tersebut dengan hal-hal berkaitan kepercayaan agama.
“Tak tahu pula pertunjukan seni dan sukan macam tu ada kaitan dengan agama dan dewa-dewa,” katanya sinis.
Sebelum ini, tular beberapa gambar di media sosial memaparkan aksi Muhammad Sanusi menunjukkan kebolehan mengimbangkan struktur buluh dengan kain segi tiga itu sehingga menimbulkan pelbagai tafsiran kalangan netizen.
Pada 25 April, Muhammad Sanusi memuat naik beberapa gambar di laman Facebook miliknya, memaparkan aksi beliau terlibat dalam persembahan seni kebudayaan Chingay bersama masyarakat Cina ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Segelintir pihak mendakwa tindakannya itu keterlaluan berikutan penggunaan elemen tersebut mirip simbolik dalam perayaan Chingay.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!