Kerajaan negeri disaran gubal undang-undang perkongsian data

GEORGE TOWN - Kerajaan negeri disaran menggubal undang-undang berkaitan perkongsian data bagi membolehkan maklumat dikongsi antara kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, Akta Perkongsian Data 2025 yang berkuat kuasa pada Isnin membolehkan perkongsian data antara agensi-agensi Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, bagi membolehkan data dikongsi antara agensi negeri dan Persekutuan, kerajaan negeri perlu menggubal undang-undang di peringkat masing-masing.
“Saya akan bertemu dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi meminta kerjasama mereka untuk meluluskan undang-undang ini, sekali gus membolehkan perkongsian data antara agensi negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi Persekutuan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Operasi Pintar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Komtar pada Isnin.
Menurut Gobind, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada petang Isnin bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Sekiranya mekanisme ini diwujudkan, kita akan dapat membina satu ekosistem data yang besar melibatkan kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Ini juga akan menghasilkan satu mekanisme perkongsian data di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, melalui Akta Perkongsian Data, agensi-agensi Persekutuan boleh bertukar data sesama sendiri melalui proses ketat bagi memastikan keselamatan maklumat terjamin.
“Terdapat prosedur permohonan data yang ketat, yang mana permintaan akan dinilai berdasarkan kriteria tertentu dan kelulusan akan diberikan dalam masa yang cepat sekiranya memenuhi syarat.
“Mekanisme ini juga memastikan data yang dikongsi tidak disalahgunakan dan dilindungi sepenuhnya,” ujarnya.
Tambah beliau, sebuah jawatankuasa dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Digital ditubuhkan bagi menilai setiap permohonan perkongsian data.
Mengulas lanjut, Gobind menegaskan bahawa aspek privasi dan keselamatan data sentiasa menjadi keutamaan kementerian dalam menjayakan inisiatif ini.
“Kita mahu memastikan data dikongsi dengan bertanggungjawab supaya manfaatnya dapat dirasai oleh semua pihak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!