Malaysia kini ke arah negara pintar

GEORGE TOWN - Malaysia akan bergerak ke arah menjadi sebuah negara pintar dengan memastikan setiap negeri mempunyai inisiatif bandar pintar tersendiri.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pembinaan negara pintar itu memerlukan infrastruktur digital yang kukuh dan memadai bagi menyokong perkembangan teknologi masa depan.
“Kita mahu membina sebuah negara pintar yang bermaksud kita bergerak ke arah digital secara keseluruhan.
"Salah satu tonggak penting dalam membina negara pintar ini ialah memastikan setiap negeri mempunyai inisiatif bandar pintar, seperti yang kita lihat pada hari ini.
“Dengan teknologi baharu, kita akan melihat lebih banyak inovasi canggih bergerak ke hadapan.
"Peranan Kementerian Digital adalah untuk memastikan infrastruktur digital yang ada di negara ini mencukupi dan mampu menampung keperluan masa depan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Operasi Pintar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Komtar pada Isnin.
Beliau menegaskan, pembangunan infrastruktur digital perlu dilakukan secara holistik meliputi seluruh negara agar tiada kawasan yang ketinggalan dalam arus pendigitalan.
Dalam pada itu, Gobind berkata, Pulau Pinang semakin hampir merealisasikan hasrat menjadi bandar kecerdasan buatan (AI) pertama di negara ini apabila pelbagai teknologi pintar mula diintegrasikan dalam pentadbiran dan infrastruktur bandar.
Menurutnya, penggunaan teknologi AI bukan sahaja mempercepatkan usaha pemodenan bandar malah meningkatkan produktiviti, kecekapan perkhidmatan dan kualiti hidup rakyat.
“Usaha ini penting untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah bandar lebih pintar, lebih selamat dan lebih lestari,” katanya.
Ujar Gobind, antara projek utama yang dilaksanakan ialah sistem pengurusan trafik pintar berasaskan analitik AI bagi mengoptimumkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan.
"Kementerian Digital memang menyokong sepenuhnya inisiatif-inisiatif setiap negeri untuk membina atau mendirikan pusat yang membolehkan negeri-negeri tersebut dikenali sebagai bandar pintar.
"Saya lihat inisiatif di Pulau Pinang memang bermula sejak 2019, sebenarnya lebih awal iaitu 2010.
"Jadi ini sudah lama berlaku dan anda dapat lihat bagaimana ia sudah dilaksanakan.
"Kita juga ada negeri-negeri lain yang telah pun melaksanakan proses dan usaha yang sama. Kementerian akan melihat bagaimana kita boleh membantu di dalam proses ini," ujarnya.
Menurut Gobind, selain Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Johor dan Sarawak turut membangunkan bandar pintar dan ia sedang dipantau oleh kementerian.
"Memang ada negeri-negeri lain yang juga mewujudkan struktur yang sama misalnya Johor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
"Kita mengadakan mesyuarat dengan Exco Negeri setiap enam bulan untuk memberikan pandangan dan perkembangan berkaitan status di negeri-negeri berkenaan.
"Ia juga untuk melihat bagaimana kerjasama boleh dilaksanakan untuk memastikan bahawa kita boleh bergerak ke depan dalam masa yang sama," katanya.
Selain itu, katanya, MBPP turut membangunkan ‘kembar digital’ yang membolehkan simulasi maya dinamik dibuat untuk membantu dalam perancangan bandar dan pengurusan kecemasan.
"Teknologi Generative AI juga digunakan untuk menganalisis set data yang kompleks, sekali gus memudahkan proses membuat keputusan yang lebih tepat dalam pelbagai sektor,” katanya.
Tambahnya, pusat arahan bersepadu bandar itu juga akan dilengkapi pangkalan data bersepadu bagi membolehkan maklumat dikumpul dari pelbagai sistem untuk meningkatkan kecekapan pengurusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!