KPT pujuk tenaga pengajar bertugas di luar negara curah khidmat di Malaysia - Zambry

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (tengah) bergambar bersama kakitangan Jabatan Kerja Raya dan Politeknik Ungku Omar selepas melawat kawasan bangunan yang siap sepenuhnya pada Majlis Penyerahan Projek Menyiapkan Baki Kerja Bagi Projek Ubahsuai dan Menyiapkan Kampus Cawangan Politeknik Ungku Omar di Bercham, pada Sabtu. Foto Bernama
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (tengah) bergambar bersama kakitangan Jabatan Kerja Raya dan Politeknik Ungku Omar selepas melawat kawasan bangunan yang siap sepenuhnya pada Majlis Penyerahan Projek Menyiapkan Baki Kerja Bagi Projek Ubahsuai dan Menyiapkan Kampus Cawangan Politeknik Ungku Omar di Bercham, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam proses memujuk tenaga pengajar yang bertugas di institusi pengajian tinggi di luar negara supaya kembali berkhidmat di Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan bagi mencari peluang untuk mereka menyumbang khidmat kepada negara.

"Mereka (tenaga pengajar yang bertugas di luar negara) mempunyai pelbagai kepakaran serta kehebatan dan mereka merupakan anak Malaysia kita.

"Oleh sebab itu kita tengah pujuk, bincang supaya mereka ini kembali semula mengajar di institusi pengajian kita," katanya selepas menyaksikan penyerahan projek kampus baharu cawangan Politeknik Ungku Omar (PUO) daripada Jabatan Kerja Raya kepada KPT dan Jabatan Pendidikan Politeknik serta Kolej Komuniti di Bercham di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Zambry berkata, pihaknya juga akan mengamalkan konsep mobiliti akademik yang membolehkan rakyat Malaysia yang berkerja di luar negara menyumbang sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada negara.

"Sebagai contoh, individu tersebut berada di Jerman tetapi beliau masih boleh berkongsi ilmu yang ada," katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, kampus baharu cawangan PUO itu yang siap sepenuhnya pada 28 Disember lepas membabitkan kos berjumlah RM27.1 juta.

Beliau berkata, kampus tersebut mampu menempatkan 1,200 pelajar bagi lima program iaitu Diploma Perakaunan, Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Kewangan, Diploma Kewangan Islam dan Diploma Pengurusan Peruncitan dengan kemasukan secara berfasa mulai Februari ini dan menerima kemasukan sepenuhnya pada Ogos. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!