Tiada arahan ADUN pembangkang tak dibenar guna kemudahan awam - Aminuddin

SEREMBAN – Tiada arahan daripada kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan bagi menghalang mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang untuk menggunakan kemudahan awam seperti dewan orang ramai dan padang awam di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya berpegang teguh kepada prinsip tadbir urus yang adil, telus dan profesional dalam semua urusan termasuk penggunaan prasarana awam.
"Namun begitu, semua permohonan perlu dibuat mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang menguruskan kemudahan tersebut.
"Setiap permohonan yang diterima perlu dinilai berdasarkan beberapa kriteria utama seperti penggunaan kemudahan awam tersebut perlu dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan PBT atau PDT yang bertanggungjawab," katanya pada Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohd Fairuz Mohd Isa (Pas-Serting) berkenaan dakwaan ADUN pembangkang tidak dibenarkan menggunakan kemudahan awam di negeri ini.
Tambah Aminuddin (PKR–Sikamat), setiap permohonan akan dinilai berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk tujuan penggunaan dan tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang seperti Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Selain itu, ia turut dinilai dari segi keselamatan dan kebajikan komuniti setempat, kesesuaian masa dan lokasi bagi mengelakkan pertembungan acara serta pematuhan terhadap syarat-syarat penggunaan.
"Ia termasuk tidak menghasut atau menyentuh isu sensitif dan mengganggu ketenteraman awam," katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri sama sekali tidak mengamalkan diskriminasi politik dalam mempertimbangkan permohonan mana-mana pihak.
Bagaimanapun katanya, jika terdapat permohonan yang ditolak atau ditangguhkan, ia adalah berdasarkan pertimbangan keselamatan, keperluan teknikal atau kegagalan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
"Semua pihak termasuk parti pembangkang perlu menggunakan saluran rasmi seperti PBT atau PDT bagi sebarang permohonan mengikut garis panduan.
"Tetapi pada masa sama, semua pihak juga bertanggungjawab mematuhi peraturan yang sedia ada demi menjamin keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat," ujarnya.
Mohd Fairuz kemudiannya berkata, penggunaan kemudahan awamperkara itu tidak sepatutnya dipolitikkan kerana mereka juga membayar sewa sekiranya menggunakan kemudahan berkenaan.
P Gunasekaran (DAP-Senawang) bangun mencelah memberitahu, ketika mereka menjadi pembangkang sebelum ini pun turut tidak berpeluang menggunakan kemudahan awam milik kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!