Utamakan ibadah, jangan leka rakam video dan gambar di Raudah

Jemaah haji diingatkan tidak leka atau ghairah merakam gambar serta video semasa mengunjungi Masjid Nabawi dan Raudah. FOTO SINAR HARIAN/NUR FARHANA ABDUL MANAN
Jemaah haji diingatkan tidak leka atau ghairah merakam gambar serta video semasa mengunjungi Masjid Nabawi dan Raudah. FOTO SINAR HARIAN/NUR FARHANA ABDUL MANAN
A
A
A

MADINAH – Jemaah haji diingatkan tidak leka atau ghairah merakam gambar serta video semasa mengunjungi Masjid Nabawi dan Raudah.

Pengurus Ibadat Haji Madinah, Mohamad Zahir Hussin@Yusof berkata, apabila diberikan peluang memasuki masjid atau Raudah, jemaah perlu mengutamakan solat sunat serta berdoa.

“Apabila jemaah asyik bermain telefon ia akan mengganggu ibadah, sepatutnya bila ada peluang masuk (ke Masjid Nabawi dan Raudah) simpanlah telefon bimbit dan teruslah solat.

“Ini tidak, ada yang masuk Raudah terus asyik ambil video, bila disuruh keluar baru kelam-kabut,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, semua jemaah harus mengetahui adab memasuki Raudah dan berasa malu dengan perbuatan masing-masing kerana terdapat makam Rasulullah di kawasan itu.

Ujarnya, jemaah yang berpeluang masuk Raudah mempunyai masa agak singkat dan kawasannya terhad.

Tambahnya, penduduk Arab Saudi pun hanya diberi peluang mengunjungi Raudah sekali dalam setahun.

“Sekurang-kurangnya buat solat dua rakaat sama ada solat sunat hajat atau tahiyatul masjid, ambil peluang berdoa bila dapat masuk ke dalam Raudah.

Artikel Berkaitan:

“Jangan tolak-menolak sesama jemaah dan jangan ambil hak orang lain,” katanya.

Dalam pada itu Mohamad Zahir meminta mereka yang tidak berpeluang masuk ke Raudah supaya tidak bersedih.

Katanya, tidak dapat masuk Raudah bukan bermakna jemaah tidak mendapat haji yang mabrur.

“Tiada hadis yang mengatakan seperti demikian.

“Di bumi Madinah ini di mana-mana tempat pun mustajab doa,” katanya.

Terdahulu, petugas media Tabung Haji (TH) bagi tahun 1446H/2025M termasuk pengamal media berpeluang memasuki Raudah.

Wartawan Salam Baitullah, Rozaihan Abdul Rahim menyifatkan peluang memasuki Raudah kali ketiga sebagai pengalaman yang cukup berbeza dan penuh makna.

Menurutnya, kesempatan kali ini lebih istimewa kerana dapat berada lebih lama di dalam Raudah bersama rakan-rakan pengamal media.

"Saya rasa ALLAH izinkan kali ini untuk berada lebih lama di dalam Raudah. Saya sudah berniat sejak dari awal, sebelum sampai ke Tanah Suci, supaya ALLAH jadikan saya sebagai tetamu istimewa-Nya," katanya ketika ditemui di sini.

Rozaihan turut menekankan pentingnya menjaga adab sepanjang berada di Raudah.

"Kita kena sentiasa menjaga adab, beri salam dan tidak tolak- menolak orang lain. Kalau nak merakam gambar untuk simpanan peribadi, tetap kena jaga adab," ujarnya.

Tambah beliau, dirinya turut terharu dengan layanan petugas di Raudah yang membenarkannya merakam gambar sebagai kenangan.

"Saya tergamam kerana biasanya rakaman tidak dibenarkan. Tetapi kali ini ALLAH permudahkan. Paling penting, bila kita jaga adab, insya-ALLAH, ALLAH akan tunaikan apa yang kita hajatkan," katanya.

Bagi pengamal media, Muhammad Rastwin Stia yang juga seorang mualaf, menyifatkan peluang memasuki Raudah sebagai pengalaman sukar dilupakan.

Beliau yang sudah memeluk Islam sejak 10 tahun lalu berkata,kesempatan yang ada dimanfaatkan sebaiknya untuk beribadat.

"Peluang ini memberikan saya jalan untuk lebih dekat dengan ALLAH,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!