RisSMart perkasa usahawan pekebun kecil
Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terus mengorak langkah memperkasa usahawan desa melalui inisiatif RisSMart, yang kini bakal diperluas dengan konsep baharu RisSMart Grocer.
Berbeza daripada pendekatan tradisional, RisSMart Grocer diwujudkan sebagai pasar raya berkonsepkan pusat sehenti, menghimpunkan pelbagai produk keluaran usahawan pekebun kecil dalam suasana pasar moden.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, usaha ini bukan sahaja bertujuan memperluaskan pasaran produk usahawan RISDA, malah menjadi
pemacu dalam memperkasa pelabelan, pensijilan halal dan strategi penjenamaan produk desa agar lebih berdaya saing di pasaran arus perdana.
“Inisiatif RisSMart ini meliputi variasi entiti seperti RisSMart24 dan RisSMart Butchery, menggabungkan jualan produk runcit harian dan daging halal berkualiti. Setakat ini, terdapat 11 cawangan RisSMart24 berkonsepkan kedai serbaneka dan tiga cawangan RisSMart Butchery di sekitar Lembah Klang, menawarkan lebih 280 produk usahawan pekebun kecil yang mampu bersaing dengan produk berjenama lain,” katanya.
Beliau berkata demikiam dalam ucapannya pada Majlis Perasmian KARRISMA Zon Utara.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar serta Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut memaklumkan bahawa RISDA sedang menilai pembukaan cawangan ke-12 dalam masa terdekat, sekali gus memperkukuh lagi kedudukan usahawan desa di sektor runcit dan agromakanan.
Ahmad Zahid turut mencadangkan kepada RISDA agar outlet RisSMart turut dibuka di kawasan Bagan Datuk dengan melihatkan sambutan yang luar biasa pengunjung yang hadir ke karnival pada hari ini.
Ia juga sebagai langkah untuk menambah peluang lebih banyak produk usahawan pekebun kecil yang mampu dipasarkan dengan lebih meluas.
Melengkapkan inisiatif itu, Karnival RISDA Madani (KARRISMA) Zon Utara 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah di pekarangan Dewan Dato’ Mohamed Jamrah, Bagan Datuk menyaksikan kehadiran lebih 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 25 hingga 27 April lalu.
“Selain memperkenalkan produk usahawan, KARRISMA turut menampilkan gerai makanan berkonsepkan cita rasa asli zon utara, serta disokong oleh penglibatan agensi kerajaan, institusi dan pihak swasta bagi memperluas akses pasaran dan meningkatkan daya saing usahawan desa,” tambah Ahmad Zahid.
Penganjuran KARRISMA Zon Utara membuktikan komitmen berterusan RISDA dalam memperkasa pekebun kecil, sejajar dengan aspirasi pembangunan desa di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Mengulas mengenai cabaran industri getah negara, Ahmad Zahid berkata, RISDA sedang melaksanakan satu inovasi yang mampu menghasilkan minyak biofuel daripada getah sekerap.
Jelas beliau, inisiatif tersebut akan menggiatkan lagi pengeluaran getah di negara ini, selain membuka peluang terhadap penghasilan tenaga alternatif dan memberi lebihan pendapatan kepada pekebun kecil.
“Ujian saintifik Jabatan Kimia Negeri Kelantan telah mengesahkan biofuel ini selamat dan berfungsi tanpa perlu campuran bahan tambahan, malah berjaya diuji pada pelbagai jentera.
“Projek ini berpotensi menjadi model pembangunan luar bandar berimpak tinggi yang memacu transformasi sektor getah ke arah masa depan lestari dan berdaya saing, dengan sokongan berterusan kerajaan serta kerjasama pelbagai pihak,” katanya lagi.
Dalam majlis sama, turut diadakan penyerahan memorandum kerjasama strategik melibatkan sinergi antara RISDA Security & Services (RSS), Aerodyne Group dan Aerodata Consulting dalam meneroka teknologi dron, kecerdasan buatan (AI) dan data analitik yang bakal dikembangkan bagi manfaat pembangunan pekebun kecil.
Pekebun kecil zon utara nikmati bantuan berjumlah RM91.55 juta
Sementara itu, dalam majis sama Manndzri berkata, setakat ini RISDA telah membelanjakan sejumlah RM101.16 juta bagi melaksanakan program pembangunan komuniti pekebun kecil di seluruh negara.
Usaha berterusan itu akan dilaksanakan sepanjang tahun agar setiap pekebun kecil menikmati manfaat tersebut.
Untuk zon utara, sebanyak RM91.5 juta peruntukkan keseluruhan yang disediakan untuk pembangunan holistik pekebun kecil.
Peruntukan ini melibatkan empat program iaitu Tanaman Semula Getah sebanyak RM45.9 juta, Skim Getah Matang (RM18.6 juta), Pembangunan Usahawan (RM10.7 juta) serta Agromakanan bernilai RM6.9 juta.
Sanusi bersyukur RISDA beri peluang
BAGAN DATUK- Seorang pekebun kecil, Sanusi Jahini, 61, berkata, bantuan kepada empat negeri di zon tersebut iaitu Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Perlis dianggap sebagai satu usaha murni kerajaan melalui KKDW dan RISDA dalam memelihara dan mengusahakan sektor komoditi dan komuniti getah.
“Alhamdulillah, sebenarnya saya tidak menyangka, saya akan menjadi salah seorang penerima bantuan ini bagi zon Perak. Saya bersyukur RISDA memberi peluang ini kepada saya untuk terus bergiat aktif dan mengusahakan tanaman getah.
“Sebelum ini saya bekerja di Kuala Lumpur tetapi saya kemudian ambil keputusan pulang ke kampung dan membuat penanaman semula pada 2019 bagi menggantikan arwah bapa.
“Sudah lebih lima tahun sejak penanaman semula dibuat tetapi saya masih menunggu masa yang sesuai untuk menoreh. Saya akui walaupun penglibatan anak-anak muda dalam sektor getah semakin merosot, saya tetap melihat peluang dan harapan melalui bantuan serta sokongan agensi seperti RISDA,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Sanusi yang juga anak jati Parit, Perak berkata, ketika usahawan pekebun lain giat mengusahakan pelbagai tanaman lain yang mungkin lebih menguntungkan, namun dia tetap mengekalkan pendirian untuk tanaman getah.
“Kalau diikutkan, sektor getah memang mencabar, lebih-lebih lagi pada zaman kini dan di kawasan ini yang terpaksa bersaing dengan pelbagai jenis tanaman lain tetapi saya memang pilih untuk mengekalkan tanaman getah sahaja.
“Ini kerana, arwah bapa pernah berpesan, kalau mahu pokok durian sedia ada di kebun ini hidup dan cantik, saya perlu tanam pokok getah. Jika selain daripada ini, pokok durian ini akan mati.
“Sekurang-kurangnya, kini saya mampu berlapang dada kerana pelbagai sokongan yang diberikan RISDA terutama bagi usahawan baharu seperti saya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
