Felda mampu bangkit dan mengorak langkah baharu

ARAHAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Felda mengemukakan pelan dan hala tuju baharu telah memberi harapan kepada seluruh warga peneroka.
Setelah bertahun-tahun melalui pelbagai usaha, inisiatif dan sokongan kerajaan, Felda masih dibelenggu kemelut berpanjangan yang menuntut pendekatan baharu dan lebih berani.
Mengenal pasti akar masalah dan potensi sebenar
Dalam merangka hala tuju baharu, Felda dan FGV Holdings Berhad (FGVHB) berjiwa besar untuk melihat ‘root cause’ serta potensi yang ada. Felda, khususnya, perlu meninggalkan sikap ‘Blamming & Denial Syndrome’ dengan menyalahkan peneroka punca keberhutangan yang tinggi serta menuding FGVHB kerana tidak dapat memberi pulangan untuk menampung kos operasi Felda yang kini mencecah RM1.3 bilion setahun.
Sumbangan FGVHB dan aliran tunai Felda
Direkodkan antara 2021 hingga 2024, FGVHB membayar purata RM600 juta setahun kepada Felda melalui perjanjian sewaan tanah (LLA), perkongsian keuntungan ladang sebanyak 15 peratus, serta dividen saham Felda. Bayaran tertinggi direkodkan hampir RM1 bilion pada tahun 2022.
Lebih 80,000 peneroka menjual hasil sawit mereka kepada Felda, menjual kira-kira 5 juta tan buah tandan segar (BTS) ke kilang FGVHB dengan nilai mencecah RM5 bilion setahun. Nilai ini dibayar kepada Felda bagi kutipan hutang peneroka, operasi ladang, tabung tanam semula serta potongan sosial lain sebelum bakinya dibayar kepada peneroka.
Dengan kutipan hutang RM250 hingga RM350 sebulan bagi setiap peneroka, Felda menjana sekitar RM200 juta setahun. Hasil ladang lot Felda juga menyumbang tambahan RM200 juta setahun. Secara keseluruhan, aliran tunai Felda kini mencecah RM1 bilion setahun mengurangkan defisit kepada sekitar RM300 juta ketimbang lebih RM500 juta sebelum ini.
Langkah pemulihan dan penstrukturan
Defisit ini boleh dikurangkan lagi melalui pelaksanaan langkah penjimatan dan penstrukturan organisasi, khususnya terhadap Felda Investment Corporation (FIC) yang dilihat tidak memberikan pulangan.
Malah, unjuran keuntungan FGVHB yang melebihi RM1.5 bilion dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang, berdasarkan harga minyak sawit mentah sekitar RM3,500–RM3,800 setan metrik, membuka ruang kepada peningkatan daya saing Felda.
Fokus kepada perniagaan teras dan keputusan berani yang tidak bersifat populis - seperti pendekatan yang digariskan oleh Perdana Menteri sebelum ini dilihat sebagai kunci kepada kejayaan pelan pemulihan ini.
Felda dilihat tidak perlu lagi suntikan kewangan terlalu besar yang akhirnya bayaran berpuluh juta hanya menguntungkan perunding khidmat kewangan yang dilantik walaupun pelan yang dicadang tetap menemui jalan buntu malah memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.
Masa depan Felda: Bersama membangun
Setelah isu asas diselesaikan, Felda diyakini dapat bergerak ke hadapan dengan hala tuju yang lebih mapan dalam usaha membina generasi peneroka seterusnya.
Hubungan generasi peneroka dengan ladang yang lama terputus ditautkan semula melalui model pengurusan ladang peneroka yang baru.
Model baharu juga hendaklah ke arah kecekapan produktiviti dan kualiti hasil di samping pengurangan tenaga kerja asing.
Dengan mengekalkan asas sosio-ekonomi berteraskan komoditi, gabungan kukuh antara Felda, FGVHB dan generasi peneroka perlu diperkasakan sebagai satu rantaian nilai yang selari dengan kehendak dan cabaran industri masa kini.
Peneroka bersama Felda telah meletakkan asas kepada kejayaan FGVHB sebagai konglomerat bertaraf antarabangsa.
Kini, dengan kesungguhan dan keikhlasan semua pihak dalam memainkan peranan masing-masing, kemelut Felda bukan sahaja boleh diselesaikan malah menjadi titik permulaan kepada kebangkitan untuk hala tuju yang baharu.
* Rauzan Esa ialah generasi peneroka di Felda Sungai Sibol, Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
