Kebakaran Putra Heights: Pembangkang sedia bas kepada anak mangsa

Mohamed Azmin (lima dari kanan) mengiringi Muhyiddin (lima dari kanan) bergambar bersama ADUN dan tetamu jemputan bergambar semasa Majlis Jamuan Aidilftri DUN Jeram di sini pada Ahad malam.
Mohamed Azmin (lima dari kanan) mengiringi Muhyiddin (lima dari kanan) bergambar bersama ADUN dan tetamu jemputan bergambar semasa Majlis Jamuan Aidilftri DUN Jeram di sini pada Ahad malam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pembangkang Selangor menyediakan bantuan sebanyak RM50,000 untuk menyewa bas bagi mengangkut anak-anak mangsa insiden letupan dan kebakaran gas di Putra Heights, Subang Jaya ke sekolah.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu diperoleh hasil sumbangan Yayasan Tan Sri Muhyiddin Yassin Charity Golf kepada Yayasan Islam Darul Ehsan.

Menurut beliau, inisiatif pembangkang itu penting kerana kerajaan negeri sehingga kini gagal menetapkan tempoh masa jelas untuk baik pulih kediaman penduduk terjejas.

"Bantuan ini akan diteruskan kerana kita tahu kerja-kerja membaiki rumah tidak boleh selesai dalam masa seminggu atau sebulan, apatah lagi ketika kerajaan negeri masih belum memberikan jaminan yang konkrit," katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidilftri DUN Jeram, di sini pada Ahad malam.

Turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Katanya, usaha itu bukti keprihatinan pembangkang Selangor dalam membela nasib rakyat yang terkesan akibat kejadian tersebut.

"Kita dengar sendiri keluhan rakyat (sebagai contoh) anak-anak tak dapat ke sekolah sebab kenderaan musnah," ujar beliau.

Mohamed Azmin turut mengulangi pendirian mendesak kerajaan negeri mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi membahaskan isu kejadian itu kerana sehingga kini laporan penuh masih belum didedahkan.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu tahu apa sebenarnya berlaku dan ini soal keselamatan rakyat dan kenapa beri taklimat hanya kepada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan penyelaras PH (Pakatan Harapan) sahaja? Apa yang cuba disembunyikan?" soalnya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut menzahirkan kekecewaan terhadap kegagalan kerajaan negeri dan Persekutuan memberi keutamaan kepada projek tebatan banjir yang dijanjikan.

"Dalam sidang DUN Selangor sebelum ini, saya sendiri telah membangkitkan projek-projek tebatan banjir yang hakikatnya belum pun bermula.

"Keadaan ini memburukkan lagi kesan banjir terhadap ekonomi rakyat Selangor," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!