Tabung Prihatin Selangor kumpul RM4.74 juta, bantu mangsa di Putra Heights

SHAH ALAM - Sebanyak RM4.74 juta berjaya dikumpulkan melalui Tabung Prihatin Selangor bagi membantu mangsa yang terkesan dengan insiden kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang dan memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan insiden tersebut.
“Semoga segala usaha, kerjasama dan semangat solidariti yang terjalin ini terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini dilaporkan, kebakaran saluran gas Petronas pada 1 April lalu mengakibatkan api menjulang hingga lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celcius dan mengambil masa selama hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami, manakala 148 kediaman lagi terjejas serta mengalami kerosakan tetapi boleh diduduki selepas melalui proses pembaikan.
Susulan itu, kerajaan Selangor membuka dan mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk sektor swasta dan individu melalui Tabung Prihatin Selangor.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan, beliau telah mempengerusikan Taklimat Khas Insiden Letupan Paip Gas pada Selasa.
“Taklimat ini memberi gambaran tentang langkah-langkah segera yang telah dan akan diambil oleh kerajaan negeri bagi menangani kesan insiden serta memastikan kebajikan mangsa terus menjadi keutamaan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
