Siasatan di lokasi kebakaran saluran paip gas berdepan cabaran hujan

SHAH ALAM - Proses siasatan di lokasi kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, berdepan cabaran berikutan cuaca hujan ketika ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, secara dasarnya agensi berkaitan telah melakukan pengorekan tanah di lokasi itu sehingga menampakkan saluran paip terlibat.
"Sebahagian spesimen telah diambil oleh agensi tindak balas dan kita masih menunggu satu lagi serpihan yang berada di kedudukan paling bawah.
"Namun, cuaca hujan yang berlaku setiap hari minggu ini menyebabkan kerja-kerja (siasatan) terganggu walaupun jangkaan laporan siasatan boleh keluar lebih awal," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Beliau berkata, pihak polis turut akan mengadakan sesi lawatan khas bersama media di lokasi tragedi itu pada Rabu depan.
Kata Hussein, ini bagi petugas media melihat sendiri kesukaran sebenar dihadapi bagi proses siasatan kejadian itu.
Pada 1 April lalu, letupan paip gas di lokasi itu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu mengakibatkan 219 rumah terjejas manakala 220 rumah disahkan selamat dan tidak terkesan.
Daripada jumlah itu, 87 rumah mengalami kerosakan teruk, manakala 132 lagi mengalami kerosakan kecil kurang 20 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
