Pelaksanaan Asas AI perlu kompas moral dan kerangka dasar - Pemuda Pas

SHAH ALAM - Pemuda Pas mengambil cakna kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengenai rancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkenalkan asas Kecerdasan Buatan (AI) di sekolah rendah mulai tahun 2027.
Pengarah Strategik & Penyelidikan Lajnah Pendidikan & Pengajian Tinggi Pas Pusat, Dr Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, pendirian pihaknya bukanlah untuk menghalang arus pemodenan malahan menyokong penuh keperluan menyediakan generasi masa hadapan dengan literasi teknologi.
"Namun begitu, KPM dilihat seolah-olah tidak mempunyai garis panduan yang berstruktur dan bertindak secara reaktif. Timbul kegusaran bahawa silibus ini mahu diperkenalkan secara tergesa-gesa semata-mata kerana AI hari ini sedang meluas penggunaannya di peringkat global, tanpa penilaian dasar yang komprehensif.
"KPM harus sedar bahawa pendidikan teknologi bukan sekadar penguasaan alat (tools), tetapi wajib dipandu oleh kompas moral yang jelas. Pembangunan silibus ini tidak boleh hanya merangkumi pendedahan asas mengenai fungsi AI dan menyebut sepintas lalu tentang 'tanggungjawab pengguna'," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sinar Bestari melaporkan Khamis lalu, KPM akan memperkenalkan asas AI dalam mata pelajaran Teknologi dan Digital di sekolah rendah melalui Kurikulum Persekolahan 2027.
Fadhlina dilaporkan berkata, dalam masa sama di peringkat sekolah menengah pula, ia akan diperkukuhkan melalui mata pelajaran berkaitan.
Sementara itu, Aubidullah Fahim menegaskan, pendekatan tempelan atau 'touch-and-go' dalam soal etika adalah satu tindakan yang amat dangkal dan tidak memadai untuk mendepani cabaran kompleks era digital ini.
Beliau yang merupakan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor berkata, sebagai analogi mudah, pendedahan AI tanpa kerangka moral yang utuh ibarat kita memperkenalkan sebilah pisau kepada seorang kanak-kanak.
"Adalah sangat cetek pendekatan kita sekiranya kita hanya mengajar mereka cara memegang pisau tersebut dan sekadar memberi amaran ringkas bahawa "pisau itu berbahaya". Penggunaan alat yang tajam memerlukan kefahaman tentang batasan, adab, dan tujuan ia digunakan, apatah lagi teknologi AI yang mampu mencorak pemikiran dan merobek asas kebenaran.
"Lebih membimbangkan, KPM seolah-olah terlepas pandang isu pokok yang sedang membarah dalam pendidikan negara pada hari ini, iaitu krisis moral dan kelemahan sistem sedia ada dalam membentuk syahsiah pelajar yang utuh," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, isu keruntuhan etika tersebut perlu dirawat dari sudut pembinaan dasar falsafah pendidikan itu sendiri, bukan sekadar selitan topik picisan apabila ada teknologi baharu diperkenalkan.
Tambahnya lagi, persoalannya mengapakah KPM tidak memfokuskan usaha dengan melibatkan pakar-pakar untuk mengenal pasti kelompongan moral dalam sistem pendidikan semasa terlebih dahulu.
"KPM sepatutnya mengambil peluang ini untuk menambah baik dan merangka satu silibus yang benar-benar jitu, silibus yang bukan sahaja memindahkan maklumat, tetapi berupaya mendidik dan membentuk manusia, bukan sekadar melahirkan robot yang pandai menggunakan teknologi.
"Oleh yang demikian, DPPNS menggesa agar perangkaan silibus ini dihentikan daripada pendekatan 'cuba jaya' (trial and error) dan wajib melibatkan jawatankuasa pakar rentas disiplin. Ia tidak boleh dimonopoli oleh pakar teknologi dan pengaturcaraan semata-mata, tetapi mesti didokong kuat oleh pakar psikologi perkembangan kanak-kanak, pakar sosiologi, serta pakar etika dan agama," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
