PEMUISI lantik 12 pengerusi biro negeri

KUALA LUMPUR – Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) melantik 12 Pengerusi Biro PEMUISI Negeri (PBPN) bagi memperkukuh struktur organisasi dan memperluas gerakan kesusasteraan, seni serta budaya di seluruh negara.
Pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) PEMUISI sesi 2026–2028 yang berlangsung di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), pada Jumaat.
Presiden PEMUISI, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, barisan Exco yang dipilih menerusi Mesyuarat Agung PEMUISI Ketujuh mempunyai latar belakang profesional dan kepakaran berbeza yang boleh dimanfaatkan untuk mengembangkan aktiviti persatuan.
Menurutnya, kepelbagaian keanggotaan yang merangkumi penggiat sastera, ahli akademik, golongan profesional, pengamal media, ahli perniagaan dan mahasiswa merupakan kekuatan dalam memperluas pengaruh PEMUISI kepada masyarakat.
“Gabungan kepakaran, pengalaman dan jaringan daripada pelbagai sektor membolehkan PEMUISI memperluas pengaruh serta menggerakkan aktiviti puisi, sastera, seni dan budaya dengan lebih menyeluruh dalam masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Tetap PEMUISI, Datuk Mohd Nasir Hamzah berkata, persatuan itu perlu lebih proaktif dan pantas memberikan maklum balas terhadap isu yang menyentuh kepentingan bahasa kebangsaan, sastera, seni dan budaya.
Beliau berkata, PEMUISI sebagai badan bukan kerajaan (NGO) di peringkat nasional tidak seharusnya berdiam diri apabila timbul isu berkaitan bahasa dan kebudayaan, sebaliknya perlu tampil menyuarakan pendirian secara tegas serta bertanggungjawab.
“PEMUISI perlu mempunyai keupayaan untuk memberikan maklum balas yang pantas terhadap isu-isu yang menyentuh kepentingan bahasa, sastera, seni dan budaya.
“Presiden atau Setiausaha Agung harus memainkan peranan penting untuk memastikan suara persatuan dapat disampaikan dengan segera, jelas dan berani,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden PEMUISI, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kepelbagaian kaum dan latar belakang profesional dalam organisasi itu turut menjadi asas untuk membina gerakan sastera yang mencerminkan kemajmukan masyarakat Malaysia.
Beliau berkata, pelantikan wakil di peringkat negeri dan wilayah juga penting bagi memastikan kegiatan persatuan dapat digerakkan secara lebih tersusun di seluruh negara.

Seramai 12 individu dilantik sebagai Pengerusi Biro PEMUISI Negeri dan Wilayah, iaitu Datuk Jasni Mat Lani (Sabah), Dr Abang Patdeli Abang Muhi (Sarawak), Mohd Risham Jaafar (Pahang), Hassany Hashim (Kelantan), Profesor Madya Dr Tengku Intan Marlina Tengku Ali (Terengganu) dan Norshasila Kalam (Melaka).
Turut dilantik ialah Dr Sariman Hussin (Johor), Profesor Madya Dr Ghazali Din (Perak), Dr Faridah Jaafar (Pulau Pinang), Dr Mardian Shah Omar (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya), Gabriel Kim Juan (Wilayah Persekutuan Labuan) dan Dr Mohamed Nazreen Shahul Hamid (Kedah).
Pelantikan bagi Selangor, Negeri Sembilan dan Perlis akan diumumkan kemudian.
Selain memperkukuh organisasi, PEMUISI turut merancang beberapa program bagi 2026 dan 2027, antaranya sambutan Hari Puisi Malaysia Ke-7, Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia, Konvensyen Pemuisi Sedunia (KONPES) dan program Lentera Puisi Malaysia-Indonesia.
Program berkenaan bertujuan memperluas jaringan pemuisi serta menyemarakkan kegiatan puisi dan kesusasteraan di dalam dan luar negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
