Pemancing nyaris lemas kayak terbalik dekat Pelabuhan Kuantan

Kayak yang dinaiki mangsa ketika kejadian. Foto Maritim Malaysia Pahang
Kayak yang dinaiki mangsa ketika kejadian. Foto Maritim Malaysia Pahang
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemancing berdepan detik cemas apabila kayak dinaikinya terbalik di perairan berhampiran Pelabuhan Kuantan di sini pada petang Sabtu.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, mangsa, Mohamad Saiful Hafizie Mohd Kamaruzaman, 32 bagaimanapun sempat menghubungi pihak berkuasa melalui telefon sebelum diselamatkan.

Menurutnya, Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang menerima panggilan kecemasan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng kira-kira jam 6.25 petang bagi melaporkan kejadian tersebut.

"Mangsa dipercayai jatuh ke laut kerana kayaknya terbalik dimasuki air.

"Lelaki itu segera menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan selepas tidak mampu mengubah kembali kedudukan kayak tersebut," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Anggota Maritim Malaysia Pahang membantu mangsa turun dari suar dinaiki sebelum dibawa ke jeti dengan selamat. Foto Maritim Malaysia Pahang
Anggota Maritim Malaysia Pahang membantu mangsa turun dari suar dinaiki sebelum dibawa ke jeti dengan selamat. Foto Maritim Malaysia Pahang

Mazlan berkata, mangsa menyelamatkan diri dengan memanjat sebuah suar berhampiran sementara menunggu bantuan tiba.

"Anggota dari Kapal Maritim (KM) Pekan telah digerakkan ke lokasi kejadian jam 7.15 petang bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan bot Pilot Pelabuhan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa berjaya diselamatkan kira-kira setengah jam kemudian dan tiba di jeti Pelabuhan Kuantan jam 8.05 malam," ujarnya.

Mangsa berjaya diselamatkan dan selamat tiba di jeti Pelabuhan Kuantan jam 8.05 malam pada Sabtu.Foto Maritim Malaysia Pahang
Mangsa berjaya diselamatkan dan selamat tiba di jeti Pelabuhan Kuantan jam 8.05 malam pada Sabtu.Foto Maritim Malaysia Pahang

Beliau berkata, orang ramai termasuk pemancing berkayak dinasihatkan supaya tidak keluar secara bersendirian dan memastikan langkah-langkah keselamatan diambil sebelum memulakan aktiviti tersebut.

"Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,"ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!