Wanita tempuh detik cemas kepala diserkup beg plastik

KUALA LANGAT - Seorang wanita menempuh detik cemas apabila kepalanya diserkup menggunakan beg plastik oleh individu tidak dikenali dalam kejadian di kawasan rumah kedai di Bandar Saujana Putra, Khamis lalu.
Kejadian yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) itu kemudiannya didapati tular menerusi media sosial.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.37 pagi ketika mangsa berjalan berseorangan sebelum seorang lelaki dilihat cuba menyerkup kepala mangsa dengan menggunakan beg plastik putih dari arah belakang.
Mangsa kemudiannya menoleh ke belakang mengakibatkan suspek bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.
Hantaran dalam media sosial turut menjelaskan mangsa kemudiannya meminta rakaman CCTV itu daripada salah sebuah premis di kawasan berkenaan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian terbabit.
"Polis masih menjalankan usaha mengesan mangsa yang terlibat bagi siasatan lanjut berhubung kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!