Bot karam: Empat sekeluarga nyaris lemas ketika memancing

LABUAN - Pemakaian jaket keselamatan dan terpaksa bertahan dengan berpaut pada bot yang karam berjaya menyelamatkan nyawa empat sekeluarga daripada lemas dalam kejadian di perairan Lubok Temiang Simpang Delima Blok Pulau pada malam Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, kesemua mangsa berusia antara 45 hingga 75 tahun berjaya diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) namun tiga daripadanya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abd Rahman Ali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.30 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Layangan dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh lapan kilometer.
"Menurut maklumat, empat sekeluarga itu keluar memancing pada jam 4 petang bagaimanapun bot yang mereka naiki karam. Tetapi sebelum karam, salah seorang daripada mereka sempat menghantar lokasi kejadian kepada penduduk kampung.
"Pasukan bomba yang menerima maklumat itu segera ke lokasi dan mendapati benar ada kejadian bot karam dan empat mangsa telah hilang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, operasi pencarian segera dilakukan sebelum menemui kesemua mangsa dalam keadaan selamat.
"Ketika kejadian, kesemua mangsa yang memakai jaket keselamatan berpaut pada bot mereka yang karam.
"Kesemua mereka kemudian dibawa ke daratan dan seorang lelaki bersama dua wanita dihantar ke hospital dengan menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) untuk pemeriksaan lanjut manakala seorang lagi dalam keadaan baik," katanya.
Abd Rahman berkata, operasi kemudian ditamatkan pada jam 11.07 malam selepas mendapati keadaan telah selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
