Orang ramai kongsi detik cemas tembakan

SHAH ALAM - Orang ramai yang berada di Setia Alam City Mall ketika kejadian tembakan berlaku berkongsi detik cemas mereka di media sosial.
Semasa insiden itu berlaku, suasana pusat beli-belah bertukar kecoh dan orang ramai berlari keluar daripada bangunan tersebut.
Menerusi perkongsian di aplikasi X, pengguna dengan nama Akirakamikaze berkata, dia terkejut apabila terdengar bunyi tembakan di aras LG.

"Pada 8 Februari 2025 lebih kurang jam 9.50 malam, saya jalan ke LG dekat Setia City Mall. Sebelum meneruskan perjalanan, saya dimaklumkan oleh salah seorang pekerja untuk tidak ke sana kerana ada 'part timer' kena tembak.
"Tiba- tiba, saya dengar ada lagi bunyi tembakan dekat aras LG," katanya pada Sabtu.
Sebelum ini, polis mengesahkan satu kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, pasukannya baru tiba di lokasi.
Sementara itu, Liyana menerusi aplikasi X melahirkan rasa syukur kerana selamat tiba di rumah.
"Alhamdulillah dapat sampai rumah dengan selamat selepas kejadian tembakan di Setia City Mall.
"Itu adalah perkara paling menakutkan yang berlaku dalam hidup saya," ujarnya.
Bagi Alia pula, situasi itu sangat mencemaskan.
"Kali pertama dengar bunyi tembakan, takut betul situasi di Setia City Mall tadi," jelasnya.
Menurut seorang pengguna Thread, Munirahfuzi kejadian tersebut berlaku secara pantas dan tiba-tiba.
"Dari setia city mall tadi. Tiba-tiba semua orang lari keluar, ada orang sedang tembak dekat bawah dan menjadi mangsa.
"Kita pun apa lagi mengigil," ujarnya.
Dalam masa sama, syahiirahroz menyatakan kerisauan terhadap suaminya yang bekerja di Setia City Mall.
"Ada adegan tembak menembak dan suami saya kerja di sana. Ya ALLAH risaunya semoga baik baik sahaja.
"Semoga ALLAH lindungi semua nyawa disana," katanya.
@sinarharianonline Ratusan pengunjung yang sedang berada di dalam sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada Sabtu malam berada dalam keadan cemas apabila berlaku satu insiden tembak-menembak di lokasi berkenaan. Berdasarkan video yang tular, kelihatan para pengunjung yang berlari-lari mahu segera menjauhkan diri dari lokasi kejadian, sementara ada yang lain masih keliru dengan kekecohan yang terjadi. #SinarHarian #SinarTerkini #VideoViral #InsidenTembakan #SetiaAlam
original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!