Penyakit berjangkit: Aktiviti kem mengikut SOP - Pengusaha

YAN - Aktiviti perkhemahan yang dikaitkan dengan penularan penyakit berjangkit di sini baru-baru ini didakwa dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan kelulusan daripada pihak berkuasa.
Pengusaha kem yang enggan dikenali berkata, setakat ini semua kakitangan kem kendaliannya itu tidak berjangkit dengan penyakit berkenaan.
"Kumpulan pelajar berkenaan menginap di kem tersebut dari Khamis hingga Sabtu, namun tiada kakitangan atau pelawat lain yang mengalami simptom penyakit tersebut.
“Kami semua menggunakan sumber air yang sama, setakat ini tiada kes lain dilaporkan dan sebagai langkah berjaga-jaga, kem ini telah ditutup sementara selama dua minggu,” katanya.
Beliau berharap pelajar dan kakitangan yang terjejas segera sembuh selain mengharapkan agar sektor pelancongan di Titi Hayun yang tidak jauh dari lokasi berkenaan kembali pulih seperti biasa.
Sebelum ini, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria mengesahkan seramai 39 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah di Daerah Kuala Muda dikesan mengalami jangkitan akibat penularan penyakit berjangkit selepas pulang dari menyertai kem di Yan baru-baru ini.
Bagaimanapun, jenis penyakit berjangkit itu setakat ini masih belum dapat dikenal pasti.
Menurutnya, kesemua pelajar dan kakitangan yang terlibat dalam aktiviti di kem berkenaan adalah seramai 763 orang.
"Daripada jumlah itu, seramai 39 pelajar dan kakitangan sekolah terbabit dilapor mengalami simptom demam, batuk dan ruam pada badan selepas menyertai kem di lokasi berkenaan baru-baru ini," katanya.
Difahamkan, kesemua pelajar dan kakitangan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!