100 pelajar sertai Kem A-Plus, bentuk kepimpinan, jati diri

SANDAKAN - Seramai 100 pelajar dari tujuh buah sekolah menengah sekitar Parlimen Libaran terlibat dalam Kem A-Plus yang menjadi platform penting membentuk kepimpinan, keyakinan dan jati diri generasi muda.
Menurut Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, program itu bukan sahaja melahirkan individu bersifat kental malah membentuk peribadi tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial yang boleh merosakkan masa depan.
“Saya difahamkan Kem A-Plus ini berlangsung selama tiga hari dua malam di mana sepanjang program mereka diuji dengan pelbagai aktiviti fizikal, mental, cabaran, berkumpulan dan latihan komunikasi.
“Kesemua aktiviti ini bertujuan untuk membentuk keberanian dan kecekalan diri mereka,” katanya ketika merasmikan Kem A-Plus 2025 bertemakan Aspirasi Program Lestasi Unggul dan Survival Peringkat Kebangsaan di Aisyadelia Cottage Batu 14, di sini pada Isnin.

Suhaimi turut menekankan kepentingan dalam memanfaatkan peluang yang diberikan sepanjang program dengan menimba ilmu serta pengalaman berharga.
Beliau berharap agar semua peserta menyedari bahawa perjalanan menuju impian bukan tentang siapa tiba dahulu sebaliknya mereka yang mampu bertahan walau sukar laluan dilalui.
“Jika mahu menjadi insan luar biasa, jalannya tidak mudah. Akan ada cabaran, ujian dan kata-kata yang melemahkan semangat.
“Tetapi jangan gentar kerana setiap perjalanan hidup ditentukan ALLAH dengan hikmah-Nya.
“Selain itu, pilih kawan yang membina semangat. Jangan takut untuk bermimpi besar kerana setiap kejayaan bermula dengan satu impian,” ujarnya.
Dalam pada itu, Suhaimi turut memberi motivasi kepada peserta agar tidak kecewa sekiranya memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak cemerlang.
Beliau yakin para peserta akan kembali dengan semangat baharu, lebih percaya kepada kebolehan diri dan lebih bersedia menghadapi masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!