Empat premis pelacuran ditutup, 'bilik khas' dirobohkan

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak tegas menutup empat premis yang menawarkan perkhidmatan seks di kawasan Petaling, dalam Parlimen Bukit Bintang, selepas pemantauan dan risikan dijalankan selama beberapa hari.
Menurut kenyataan DBKL, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan hasil maklumat risikan yang mengenal pasti empat premis menjalankan aktiviti persundalan di kawasan berkenaan.
"Semua premis tersebut telah ditutup serta-merta di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976," ujar pihak berkuasa tempatan itu dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Dalam tindakan sama, DBKL turut merobohkan struktur dalaman yang dibina untuk dijadikan bilik khas bagi kegiatan pelacuran.
"Selain itu, empat notis tawaran kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016," tambahnya.
Semua barangan yang berkaitan aktiviti persundalan turut disita dan dibawa ke stor sitaan di Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk tujuan rekod dan dokumentasi.

DBKL menegaskan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti.
Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya menerusi pautan https://adukl.dbkl.gov.my/.
Kempen 'pembersihan' ini merupakan sebahagian usaha DBKL untuk memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandaraya berdaya huni dan sejahtera untuk semua warga kota.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

