Pupuk semangat cintakan negara

Fadhlina memakaikan lencana Jalur Gemilang kepada pelajar. 
Fadhlina memakaikan lencana Jalur Gemilang kepada pelajar. 
A
A
A
SHAH ALAM- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggalakkan institusi pendidikan yang berada di luar bidang kuasa kementerian itu untuk turut serta dalam inisiatif pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan bahawa langkah itu bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan pelajar dan memastikan penglibatan menyeluruh daripada semua pihak.

"Seramai 5.3 juta pelajar di bawah KPM telah mula memakai lencana Jalur Gemilang secara serentak di seluruh negara.

"Inisiatif ini melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia," katanya.

Fadhlina turut menegaskan bahawa pelajar yang tidak memakai lencana tidak akan dikenakan tindakan.

Jelasnya,objektif utama inisiatif itu adalah untuk memupuk semangat cintakan negara, bukan menghukum.

"Lencana akan diberikan secara percuma kepada semua pelajar dengan bimbingan dan sokongan daripada guru mengenai tatacara pemakaian," katanya.

Beliau berharap usaha itu dapat melahirkan generasi Madani yang mempunyai jati diri kukuh dan sentiasa menghormati simbol negara.

Suburkan semangat patriotisme
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pemakaian lencana tersebut diyakini dapat menyemai semangat patriotik dalam kalangan generasi muda.

Katanya, negara kini sedang berada dalam fasa di mana semangat patriotisme dalam kalangan pelajar dilihat semakin longgar dan lemah.

AMINUDDIN
AMINUDDIN



"Pelaksanaan pemakaian lencana ini dianggap sebagai satu langkah holistik yang bermula daripada usaha mendekati akar umbi.

“Pemakaian lencana Jalur Gemilang mampu melatih murid untuk menghargai sejarah Malaysia serta menghormati lambang kebanggaan negara. Langkah ini juga dapat menanam rasa bangga terhadap negara setiap kali mereka memakai lencana tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini, KPM memaklumkan bahawa pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar dilaksanakan secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian itu bermula pada 21 April lalu.

Inisiatif berkenaan melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru Malaysia, bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pendidik.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa inisiatif pemakaian lencana berkenaan dapat memberi didikan awal kepada anak-anak agar bersifat kasih dan cinta kepada negara.

Lencana Jalur Gemilang dipakai sebelah kanan seragam sekolah.
Lencana Jalur Gemilang dipakai sebelah kanan seragam sekolah.



Sebagai rekod, lencana Jalur Gemilang hendaklah dipakai pada bahagian kanan dada selari dengan kedudukan tanda nama murid dan dipakai pada pakaian seragam sekolah.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pemakaian lencana bukanlah satu-satunya cara dalam membina jati diri dan semangat kebangsaan.

"Ia harus disertai dengan pendekatan berterusan termasuk penerangan dari pihak sekolah mengenai maksud dan falsafah di sebalik lencana tersebut.

“Peranan guru amat penting dalam memastikan murid bukan sahaja memakai lencana dengan betul, tetapi juga memahami erti di sebalik simbol dipakai. Kefahaman ini menjadi pemangkin kepada semangat patriotisme yang lebih tulen dalam kalangan pelajar,” katanya.

Inisiatif itu dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan generasi muda kekal berakar dengan jati diri nasional yang kukuh di tengah arus globalisasi semakin mencabar.

Mampu perkukuh jati diri pelajar

Sementara itu, Tokoh Pendidikan, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, lencana Jalur Gemilang menjadi peringatan harian kepada pelajar bahawa mereka adalah sebahagian daripada negara berdaulat.

"Langkah itu dapat menyemai rasa bangga dan bertanggungjawab terhadap tanah air sejak dari bangku sekolah lagi.

Lencana Jalur Gemilang diberikan percuma dan diagihkan secara berperingkat. 
Lencana Jalur Gemilang diberikan percuma dan diagihkan secara berperingkat. 



"Pemakaiannya berperanan dalam membina jati diri pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah seimbang melibatkan nilai dan semangat patriotik," katanya.

Beliau yang merupakan bekas Pengarah Pendidikan Negeri Melaka berkata, lencana bukan sekadar aksesori, tetapi lambang identiti.

"Pelajar akan belajar menghargai erti kemerdekaan dan memahami tanggungjawab sebagai warga Malaysia setiap kali mereka memakai lencana tersebut. Ia merupakan elemen penting dalam membentuk insan berjiwa kebangsaan," katanya.

Mengulas mengenai aspek perpaduan, tokoh pendidikan itu percaya bahawa lencana Jalur Gemilang berpotensi menjadi simbol penyatuan yang berkesan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum dan latar belakang agama.

“Apabila semua pelajar memakai lencana yang sama, ia mewujudkan rasa kebersamaan. Kita mungkin berbeza bangsa dan budaya, tetapi kita semua berkongsi identiti sebagai rakyat Malaysia. Inilah kekuatan sebenar simbol negara seperti Jalur Gemilang,” katanya lagi.

Beliau menggesa agar usaha seperti ini diteruskan dan disokong oleh semua pihak, bukan sahaja sebagai lambang semangat kebangsaan tetapi juga sebagai pemangkin kepada perpaduan dan keharmonian dalam kalangan pelajar.

INFO:

- Pemakaian lencana Jalur Gemilang bermula 21 April 2025.

- Melibatkan 5.3 juta pelajar di bawah KPM.

- Pemakaiannya membabitkan warga sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.

- Lencana berkenaan dipakai pada pakaian seragam sekolah pada sebelah kanan baju.

-Lencana diberikan secara percuma secara berperingkat.

-Pelajar yang tidak memakai lencana tidak akan dikenakan tindakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!