Isu Jalur Gemilang: Pegawai terlibat dikenal pasti - KSN

PUTRAJAYA- Kerajaan telah mengenal pasti pegawai yang terlibat dalam kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang di dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, baru-baru ini.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tindakan sedang diambil menerusi Lembaga Disiplin Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Kesemua yang terlibat itu telah pun dikenal pasti yang mana ada dua kumpulan iaitu atas dan di bawah Gred 48 (Gred 12).
"Pegawai di bawah Gred 48 akan dikendalikan oleh KPM dan gred atas 48 akan diambil tindakan oleh JPA," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara di sini pada Selasa.
Ujarnya, laporan mengenai insiden tersebut telah dihantar KPM kepada JPA.
"Ya, sedang dan akan diambil tindakan," jelas Shamsul.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai perkembangan siasatan berhubung perkara tersebut.
Kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang janaan kecerdasan buatan (AI) dikesan di beberapa muka surat dalam laporan berkenaan yang diedarkan semasa sidang akhbar pada Khamis minggu lalu.
Dokumen itu turut dimuat naik ke laman sesawang jam 10 pagi namun diturunkan selepas KPM menyedari kesilapan berkenaan selain menyatakan tindakan tegas akan diambil.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan siasatan dalaman berhubung isu berkenaan masih dijalankan.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama semua pihak memberikan ruang sementara siasatan tersebut berlangsung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!