PGA rampas 850kg daun ketum

PGA Batalion 9 merampas 850kg daun ketum termasuk sebuah lori di Lebuhraya Jeli-Tanah Merah.
PGA Batalion 9 merampas 850kg daun ketum termasuk sebuah lori di Lebuhraya Jeli-Tanah Merah.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu merampas 850 kilogram (kg) daun ketum termasuk sebuah lori dianggarkan bernilai RM106,000 di Lebuhraya Jeli-Tanah Merah dekat sini awal pagi tadi.

Dalam serbuan jam 2.15 pagi itu, PGA Batalion 9 turut menahan seorang lelaki.

Pegawai Pemerintah, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota PGA telah mengesan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya Jeli-Tanah Merah.

"Sebaik sahaja kenderaan itu memasuki lorong belakang sebuah stesen minyak dekat Batu 9, Tanah Merah anggota PGA telah bertindak menahan lori itu.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut membawa kepada penemuan bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun-daun kehijauan disyaki daun ketum," katanya.

Menurutnya, kesemua barangan rampasan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

Nor Azizan berkata, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PGA berjaya mematahkan cubaan menyeludup tujuh ekor lembu berjumlah RM42,000 dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang dan Tumpat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam serbuan di Tumpat pada jam 1 pagi tadi, PGA merampas tiga ekor lembu bernilai RM18,000.

"Serbuan di Rantau Panjang pada jam 8.15 malam kelmarin kita merampas empat ekor lembu di pangkalan Haram Jeram Perdah yang bernilai RM24,000," katanya.