Calon Parlimen Kuala Terengganu sedang diteliti - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

MARANG - Pas kini dalam proses mengenal pasti calon yang akan bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu sebagaimana dijadualkan akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, senarai nama calon bagi Parlimen itu telah diterima dan kini dalam proses semakan serta penelitian sebelum diputuskan dalam tempoh terdekat.

"Calon ramai. Insya-ALLAH. Kita masih lagi perhalusi lagi dan nama bagi penyandang kerusi (Datuk Ahmad Amzad Hashim) ada dalam senarai.

"Dalam masa sehari dua lagi kita akan buat keputusan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah bagi pembinaan Kompleks Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu Marang di Kampung Tok Muchong, di sini pada Selasa.

Ahmad Samsuri bagaimanapun tidak pasti sama ada Pas akan menampilkan calon import untuk dipertaruhkan bagi kerusi berkenaan.

"Calon import setakat ini tiada. Setakat inilah. Apa yang akan berlaku esok lusa tu (kita tak tahu) sebab boleh je berlaku apa-apa (sebarang kemungkinan)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pas bersedia untuk mengadakan PRK serentak dengan PRN.

"Tak ada masalah berjalan serentak. Lebih baik serentak lah lagi pun ia akan menjimatkan kos di pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) kerana satu-satu pilihan raya nak buat ni memang kos besar, jadi kalau kita buat serentak SPR pun jimat.

"Bila duit SPR jimat, jimatlah duit kerajaan. Kita pun 'kasihan' juga dekat Kerajaan Pusat sebab selalu sebut tak ada duit," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, Perikatan Nasional (PN) Terengganu setakat ini belum memutuskan tarikh bagi pengisytiharan calon.

"Saya tak pasti lagi bila akan umum sebab secara keseluruhan di negeri-negeri kita pun tak buat keputusan lagi tarikh pengisytiharan calon," ujarnya.

Pengerusi Suruhanjaya SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan hari mengundi PRK P036 Kuala Terengganu diadakan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Katanya, penamaan calon bagi Parlimen berkenaan juga ditetapkan pada 29 Julai.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini membatalkan kemenangan Ahmad Amzad setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) bagi Parlimen tersebut.

Sebelum itu, UMNO Terengganu pada 3 Januari lalu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 parlimen berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Terengganu peruntuk RM100 juta bina Kompleks SM Imtiaz

Dalam perkembangan berasingan, kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk membangunkan Kompleks SM Imtiaz Yayasan Terengganu Marang di atas tanah berkeluasan 16 hektar di Kampung Tok Muchong, di sini.

Ahmad Samsuri berkata, kompleks yang menggabungkan konsep reka bentuk moden dan kontemporari itu dijangka mampu menempatkan seramai lebih 500 pelajar apabila ia siap sepenuhnya pada 2027.

Menurutnya, penyediaan infrastruktur pembelajaran kelas pertama itu bertujuan memacu pembangunan modal insan mengikut perancangan yang telah dirangka kerajaan negeri sebelum ini.

"Setiap tahun Yayasan Terengganu menerima hampir 5,000 permohonan untuk memasuki Imtiaz namun hanya mampunyai kira-kira 550 tempat (kekosongan) sahaja untuk anak-anak ini. Bayangkan, daripada 5,000 permohonan hanya nak 500 orang iaitu lebih kurang 10 peratus sahaja.

"Disebabkan tempat tak cukup, kita ambil inisiatif siapkan Kompleks Imtiaz di Marang. Apabila siap nanti, kita jangka pengambilan pelajar baharu boleh mececah sehingga 750 orang bagi kemasukan Tahun Satu," katanya ketika berucap sempena majlis perasmian pecah tanah bagi pembinaan kompleks itu di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Satiful Bahri Mamat; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Yahaya Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Ahmad Samsuri memberitahu, kompleks itu bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti auditorium, gelanggang indoor, padang bola, ruang kelas yang lebih baik, makmal Sains dan teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang moden.

Katanya, selain fasiliti yang disediakan, jarak antara blok akademik dan asrama bagi juga lebih dekat sekali gus membantu dalam melancarkan pergerakan setiap pelajar.

Menurut Ahmad Samsuri, SM Imtiaz yang mula beroperasi pada 2017 kini sudah dikenali di merata tempat sebagai satu jenama dalam mencetak kecemerlangan pelajar.


Caption
Ahmad Samsuri merakam gambar bersama pelajar sempena majlis perasmian pecah tanah bagi pembinaan Kompleks SM Imtiaz Yayasan Terengganu Marang di Kampung Tok Muchong, Marang pada Selasa
Caption Ahmad Samsuri merakam gambar bersama pelajar sempena majlis perasmian pecah tanah bagi pembinaan Kompleks SM Imtiaz Yayasan Terengganu Marang di Kampung Tok Muchong, Marang pada Selasa

"SM Imtiaz Yayasan Terengganu Marang telah beroperasi sejak 2017 dengan menggunakan bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Tapai sebagai pusat pembelajaran.

"Kini nama Imtiaz telah dikenali di serata dunia dan telah berkembang ke setiap daerah di Terengganu," katanya.