19 daripada 23 projek air di bawah SWSI siap sepenuhnya

Kemajuan kerja-kerja 23 projek air di bawah pelaksanaan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) April 2025 kini telah mencapai 85 peratus setakat jam 10.30 pagi Sabtu. Gambar kecil: Pathmanathan
Kemajuan kerja-kerja 23 projek air di bawah pelaksanaan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) April 2025 kini telah mencapai 85 peratus setakat jam 10.30 pagi Sabtu. Gambar kecil: Pathmanathan
A
A
A

GEORGE TOWN – Kemajuan kerja-kerja 23 projek air di bawah pelaksanaan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) April 2025 kini telah mencapai 85 peratus setakat jam 10.30 pagi, Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, 19 daripada 23 projek berkenaan telah siap sepenuhnya, manakala baki empat lagi dijangka siap menjelang jam 4 petang, Sabtu.

Menurutnya, empat projek yang masih dalam pelaksanaan ialah penyambungan akhir Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP) berdiameter 1.35 meter di Ampang Jajar, Seberang Perai Tengah (SPT).

"Kerja-kerja di situ sudah 46 peratus siap. Projek kedua ialah penyambungan akhir SP-RCP berdiameter sama di Kampung Teluk, Seberang Perai Utara (SPU), yang kini 30 peratus siap.

"Sementara itu, penggantian injap pada saluran paip 1.2 meter di Jalan Pengkalan Tambang berhampiran Loji Rawatan Air Sungai Dua, SPU telah 90 peratus siap, dan yang keempat ialah pelencongan paip berdiameter 0.9 meter di Kompleks Majlis Sukan Negeri, Batu Uban (95 peratus siap)," katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

Tambah beliau, secara keseluruhan semua projek berjalan mengikut perancangan, dan pihaknya menjangkakan kesemua projek akan siap sepenuhnya menjelang jam 4 petang, Sabtu.

“Sebaik sahaja kerja-kerja ini selesai, proses pemulihan bekalan air akan dimulakan secara berperingkat. Pada jam 10 malam ini, 40 peratus bekalan air akan dipulihkan, melibatkan 136,683 daripada 341,708 pengguna terjejas di SPU, SPT, dan Timur Laut (TL) di bahagian pulau.

"Pada jam 10 malam esok pula, 88 peratus bekalan air akan dipulihkan, termasuk majoriti pengguna di Seberang Perai Selatan (SPS) dan Barat Daya (BD).

Artikel Berkaitan:

"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 10 pagi Isnin bagi semua pengguna terjejas termasuk baki 41,523 pengguna di kawasan hujung paip agihan (EoL) serta kawasan tanah tinggi di SPS dan BD," ujarnya.

Pathmanathan berkata, PBAPP akan terus memberikan maklumat terkini melalui laman Facebook rasminya dan akan mengeluarkan kenyataan media pada Ahad berhubung perkembangan proses pemulihan bekalan air.

Terdahulu, PBAPP memohon pengguna yang akan terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual bermula Jumaat supaya menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan selama 24 hingga 60 jam.

Menurut PBAPP, 40 peratus atau 136,683 daripada 341,708 akaun pengguna di kawasan terjejas di SPU, SPT dan TL dijangka mengalami gangguan selama 24 jam.

Tempoh gangguan bagi 163,502 atau 48 peratus akaun pengguna di SPS yang terjejas – kecuali Kampung Sungai Baong, Kampung Wellesley, Taman Seruling Emas, Taman Widuri, Sungai Duri dan Kompleks Kuarters Penjara Seberang Perai – dijangka selama 48 jam.

Seramai 41,523 atau 12 peratus pengguna di semua kawasan di BD kecuali Balik Pulau (kejiranan di bahagian selatan), Gertak Sanggul, Kampung Terang, Pulau Betong dan Sungai Ara – dijangka mengalami gangguan selama 60 jam sehingga jam 10 malam, Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!