Gangguan bekalan air di Pulau Pinang hampir pulih sepenuhnya

PBAPP sedang berusaha untuk memulihkan bekalan di kawasan-kawasan terlibat secepat mungkin. - Foto hiasan
PBAPP sedang berusaha untuk memulihkan bekalan di kawasan-kawasan terlibat secepat mungkin. - Foto hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Gangguan bekalan air di Pulau Pinang hampir pulih sepenuhnya dengan kadar pemulihan mencapai 99 peratus setakat jam 10 pagi pada Isnin.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, sehingga kini kira-kira 337,000 daripada 341,708 pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) April 2025 telah menerima semula bekalan air.

"Kerja-kerja pemulihan kini memasuki Fasa 3, iaitu fasa akhir yang memberi tumpuan kepada beberapa kawasan kejiranan di penghujung sistem agihan (EoL) dan kawasan tanah tinggi di Barat Daya di bahagian pulau.

“PBAPP sedang berusaha untuk memulihkan bekalan secepat mungkin di kawasan-kawasan terlibat,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, pengguna di kawasan Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut (TL) yang masih mengalami gangguan bekalan dinasihatkan supaya menghubungi Pusat Panggilan 24 jam PBAPP di talian 04-2558255 atau 04-5096509 untuk bantuan lanjut.

"Kami amat menghargai kesabaran semua pengguna sepanjang tempoh pemulihan bekalan air ini," menurut PBAPP.

Terdahulu, PBAPP memohon pengguna yang akan terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual bermula Jumaat untuk menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan selama 24 hingga 60 jam.

Menurut PBAPP, 40 peratus atau 136,683 daripada 341,708 akaun pengguna di semua kawasan yang terjejas di SPU, SPT dan TL di bahagian pulau dijangka mengalami gangguan bekalan selama 24 jam.

Artikel Berkaitan:

Tempoh gangguan bekalan bagi 163,502 atau 48 peratus akaun pengguna di SPS yang terjejas kecuali Kampung Sungai Baong, Kampung Wellesley, Taman Seruling Emas, Taman Widuri, Sungai Duri dan Kompleks Kuarters Penjara Seberang Perai dijangka berlaku selama 48 jam.

Seramai 41,523 atau 12 peratus pengguna di semua kawasan di Barat Daya kecuali Balik Pulau (kejiranan di bahagian selatan), Gertak Sanggul, Kampung Terang, Pulau Betong and Sungai Ara dijadualkan mengalami gangguan bekalan selama 60 jam sehingga 10 malam Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!