Bekalan air di Pulau Pinang pulih 100 peratus

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Pemulihan bekalan air di seluruh Pulau Pinang berjaya disempurnakan hasil kerjasama dan usaha sama pelbagai pihak di negeri ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kejayaan itu turut menyaksikan pelaksanaan 23 projek kerja air sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual (SWSI) April 2025 yang bermula sejak Jumaat lalu.

Menurutnya, ia juga secara tidak langsung meningkatkan keupayaan pam dan pengagihan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang mana, ia merupakan loji terbesar dan terpenting di negeri ini.

“Kawasan-kawasan akhir yang menerima pemulihan pembekalan air sepenuhnya membabitkan kira-kira 400 akaun di kawasan hujung saluran (EoL) dekat Gertak Sanggul di Barat Daya, dengan bekalan pulih sepenuhnya pada jam 6.45 petang tadi.

“Proses melepaskan angin yang terperangkap dalam saluran paip mengambil masa lebih lama daripada jangkaan asal,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau berkata, lima manfaat utama dicapai menerusi pelaksanaan SWSI April 2025, iaitu meningkatkan jumlah harian bekalan air terawat yang dipam dari LRA Sungai Dua kepada kira-kira 465,000 pengguna di kelima-lima daerah di Pulau Pinang.

"Selain itu, tekanan air bagi majoriti pengguna di kawasan perkhidmatan LRA Sungai Dua turut bertambah baik, terutama semasa tempoh permintaan tinggi seperti musim kemarau berpanjangan dan musim perayaan.

"Masalah bekalan air tidak stabil di kawasan hujung saluran dan kawasan tanah tinggi di Seberang Perai Selatan serta Barat Daya turut dapat dikurangkan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow menambah, pemulihan bekalan air selepas gangguan berjadual dan insiden gangguan tidak berjadual pada masa hadapan juga akan menjadi lebih cepat.

“Pelaksanaan ini juga berpotensi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) menerusi pembaikan segera terhadap beberapa kebocoran utama," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada rakyat negeri ini atas kesabaran, kefahaman dan doa mereka sepanjang tempoh pelaksanaan SWSI sejak 25 April lalu.

"Tahniah kepada seluruh warga Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) serta terima kasih kepada barisan pimpinan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli Parlimen, Ahli Majlis, operator air dari seluruh negeri dan agensi-agensi yang membantu dalam pelaksanaan pemulihan bekalan air ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!