Lelaki Nigeria bawa pisau pemotong daging dalam poket seluar

Jafri Embok mendapatkan maklumat lanjut daripada warga Nigeria yang ditahan bersama senjata pisau di dalam poket seluarnya.
Jafri Embok mendapatkan maklumat lanjut daripada warga Nigeria yang ditahan bersama senjata pisau di dalam poket seluarnya.
A
A
A

NILAI - Pergerakan mencurigakan seorang lelaki warga Nigeria di kawasan Desa Palma di sini pada Khamis telah membawa kepada penemuan dua bilah pisau termasuk pisau pemotong daging di dalam poket seluarnya.

Lelaki berusia lingkungan 20-an itu yang diperiksa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia(JIM) Negeri Sembilan mendakwa pisau terbabit dibawanya untuk mencari serai di kawasan sekitar.

Lebih mencurigakan apabila dia memberitahu bukannya tinggal di situ, sebaliknya di kawasan Nilai Spring, selain tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang dibawa.

Timbalan Ketua Pengarah(Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, lelaki itu antara 49 warga asing yang ditahan daripada 260 yang diperiksa dalam operasi bersepadu di kawasan berkenaan bermula jam 8.30 malam.

Seramai 260 warga asing yang diperiksa di Desa Palma.
Seramai 260 warga asing yang diperiksa di Desa Palma.

"Apabila diperiksa kita dapati ada senjata tajam bersamanya dan tiada pengenalan diri dibawa.

"Dia telah ditahan untuk siasatan selanjutnya dan turut mendakwa bekerja di sebuah restoran," katanya ditemui pemberita selepas operasi pada malam Khamis.

Turut hadir, Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kenneth Tan Ai Kiang.

Artikel Berkaitan:

Menurut Jafri, secara keseluruhan warga asing ditahan berusia 20 hingga 60 tahun terdiri daripada warga Myanmar (14), India (9), Bangladesh (7), Indonesia (6), Pakistan (5), Nepal (4) dan Nigeria serta Yaman (2).

Tambahnya, antara kesalahan dilakukan adalah tidak mempunyai sebarang pas dan dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

"Serbuan dilakukan di lokasi ini kerana kita menerima aduan ketidakselesaan awam dengan kehadiran ramai warga asing di sini.

"Kebanyakan rumah dihuni warga asing dari pelbagai negara dan terdapat juga segelintir warga asing yang sudah berkahwin dengan warga tempatan yang membuka premis perniagaan sini atas nama pasangan," katanya.

Jelas beliau, terdapat juga pemilik rumah warga tempatan yang menyewakan kediaman mereka kepada warga asing menyebabkan berlaku lambakan warga asing di kawasan ini.

Bagaimanapun katanya, apabila pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati kebanyakan daripada mereka mempunyai dokumen yang sah untuk berada di negara ini.

"Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

"Orang ramai dan majikan juga diingatkan tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang yang sewajarnya," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, operasi berkenaan melibatkan seramai 186 anggota termasuk dari Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Putrajaya, Pasukan Taktikal Khas, Jabatan Imigresen Melaka, Jabatan Tenaga Kerja dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!