Menteri KBS desak penjelasan terbuka isu lumba jalan kaki tular

MENTERI Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menggesa penganjur serta panel hakim tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung keputusan acara lumba jalan kaki 800 meter pada Kejohanan Junior Development Programme (JDP) Siri 3 di Stadium Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), 14 November lalu.
Beliau berkata, atlet dan ibu bapa berhak mengetahui asas serta proses penentuan keputusan pertandingan itu susulan rakaman video yang tular dan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai.
Menerusi hantaran di Threads, Taufiq mengakui memahami kekecewaan ibu bapa selepas menonton sendiri rakaman pertandingan berkenaan.
“Saya dah tengok video lumba jalan kaki 800 meter di JDP Siri 3, UPNM, 14 November lalu. Saya faham rasa terkilan ibu bapa.
“Saya mahu penganjur dan panel hakim memberi penjelasan terbuka kepada atlet dan ibu bapa. Mereka berhak tahu bagaimana keputusan itu dibuat,” katanya.
Beliau dalam masa sama menjelaskan kejohanan berkenaan dianjurkan Persatuan Lumba Jalan Kaki Malaysia dengan kerjasama Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan, bukannya anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) atau Kementerian Pendidikan (KPM).
Dalam perkembangan berkaitan, Taufiq berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Olahraga Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh latihan serta kompetensi pegawai teknikal negara.
Katanya, persediaan itu penting bagi memastikan pegawai teknikal mempunyai tahap kesiapsiagaan sewajarnya menjelang acara Half Marathon Race Walk yang bakal dipertandingkan pada Sukan SEA 2027.
“Half Marathon Race Walk dipertandingkan di Sukan SEA 2027 dan pegawai kita mesti bersedia,” katanya.
Terdahulu, rakaman pertandingan berkenaan tular di media sosial selepas seorang peserta didakwa tidak mematuhi teknik asas lumba jalan kaki, namun dikatakan muncul sebagai pemenang.
Video yang dikongsikan menerusi akaun Threads @olahragamalaysia itu meraih lebih 3.3 juta tontonan dan menerima lebih 3,500 komen, dengan rata-rata pengguna mempersoalkan keputusan pertandingan serta menggesa semakan dilakukan.
Mengikut peraturan asas lumba jalan kaki, atlet perlu mengekalkan sentuhan sekurang-kurangnya sebelah kaki dengan permukaan tanah yang dapat dilihat oleh mata kasar.
Selain itu, kaki yang melangkah ke hadapan perlu diluruskan sejak mula menyentuh permukaan tanah sehingga berada dalam kedudukan menegak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

