Manchester United sudah jadi sarkas

MANCHESTER United semakin menyerupai sebuah kelab yang hilang arah apabila kekalahan memalukan 0-4 kepada Brentford di Old Trafford menambahkan tekanan terhadap pengurus baharu, Mauricio Pochettino.
Lebih menyakitkan, keputusan itu hadir selepas The Red Devils turut dibelasah Liverpool dengan jaringan sama dalam aksi liga terdahulu, sekali gus memperlihatkan betapa rapuhnya benteng pertahanan pasukan berkenaan.
Kegagalan mencatat kemenangan dalam 10 perlawanan liga berturut-turut turut mengundang persoalan mengenai kemampuan kelab itu untuk keluar daripada kemelut yang semakin meruncing.
Pengkritik bola sepak The Guardian, Jamie Jackson menerusi analisisnya menyentuh kelemahan menyeluruh United yang dilihat gagal berfungsi dengan baik di setiap bahagian.
Kritikan itu menggambarkan sebuah pasukan yang bukan sahaja bermasalah di bahagian pertahanan, malah turut ketandusan idea untuk mengatur serangan dan menguasai bahagian tengah.
Situasi berkenaan menguatkan gambaran bahawa masalah United jauh lebih besar daripada kelemahan taktikal atau pertukaran pengurus semata-mata.
Malah, kekalahan kepada Brentford turut memperlihatkan kerapuhan benteng pertahanan apabila Callum Wilson meledak dua gol pada separuh masa pertama sebelum Kristoffer Ajer dan Kevin Schade menambah derita tuan rumah pada penghujung perlawanan.
Lebih memalukan, kemenangan itu menjadi kejayaan pertama Brentford di Old Trafford sejak 1937, sekali gus menambah satu lagi catatan buruk dalam sejarah United.
Pochettino sendiri mengakui tugasnya di Old Trafford jauh lebih sukar daripada jangkaan selepas pasukannya sekali lagi tewas dengan jaringan besar.
“Lebih sukar daripada jangkaan? Sudah tentu. Kami tidak pernah menjangkakan keputusan seperti ini,” katanya selepas perlawanan.
Pengendali kelahiran Argentina itu turut meluahkan kekecewaan apabila United melepaskan empat gol daripada empat percubaan tepat Brentford.
“Kami perlu menyimpan rasa kecewa ini dan menjadikannya pembakar semangat. Namun, kami juga perlu membangkitkan semula keyakinan pemain,” katanya.
Bagaimanapun, pengakuan itu belum tentu mampu meredakan kemarahan penyokong yang semakin hilang sabar melihat prestasi pasukan kesayangan mereka.
Malah, pemain United diejek dengan laungan 'You’re not fit to wear the shirt' (Anda tidak layak menyarung jersi ini) ketika cuba memberikan penghormatan kepada penyokong selepas tamat perlawanan.
Pengurusan tertinggi kelab juga tidak terlepas daripada kritikan apabila penyokong semakin mempersoalkan hala tuju serta kegagalan membina skuad yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.
Bagi sebuah kelab yang pernah mendominasi bola sepak England, keadaan itu cukup memalukan apabila Old Trafford kini menjadi pentas yang menyaksikan pasukan sendiri dipersendakan lawan dan penyokong.
Persoalannya, sampai bila United mahu terus menjadikan pertukaran pengurus sebagai jalan penyelesaian sedangkan masalah sebenar mungkin berakar umbi daripada pengurusan dan perancangan kelab itu sendiri?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
