TLDM perkasa, kedaulatan terpelihara

Bersempena ulang tahun ke-91, tema ‘TLDM PERKASA, KEDAULATAN TERPELIHARA’ dipilih sebagai inspirasi kepada seluruh warga Navy People agar terus komited memacu kesiagaan armada dalam mendepani cabaran semasa.
Tema ini juga selari dengan aspirasi Program Transformasi 15 ke 5, iaitu pelan jangka panjang TLDM bagi memperkemaskan struktur armada kepada lima kelas kapal utama yang lebih moden, mampu milik dan beroperasi secara lebih bersepadu.
Kedaulatan sesebuah negara tidak akan bermakna tanpa kekuatan pertahanan yang mantap serta kemampuan menangani ancaman dari pelbagai dimensi, khususnya di perairan strategik yang menjadi nadi kepada keselamatan dan ekonomi nasional.

Bagi TLDM, cabaran menjaga keselamatan maritim negara kini semakin kompleks apabila situasi geo-politik serantau berada dalam fasa volatility, uncertainty, complexity dan ambiguity atau VUCA yang memperlihatkan tidak menentunya landskap keselamatan maritim masa kini.
Ancaman seperti tuntutan sempadan bertindih, pencerobohan kapal asing, pelanunan serta rompakan laut terus membelenggu kedaulatan perairan negara, sekali gus menuntut kesiapsiagaan TLDM berada pada tahap tertinggi.
Sebagai negara yang berpegang teguh kepada prinsip neutraliti, Malaysia tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar, sebaliknya terus komited membina hubungan diplomatik yang seimbang dan kukuh di peringkat antarabangsa.
Justeru, transformasi menyeluruh terhadap aset pertahanan laut menjadi keperluan mendesak demi memastikan keselamatan maritim negara terus terpelihara, di samping menjamin kelangsungan aktiviti ekonomi berasaskan laut yang semakin berkembang.
TLDM peroleh aset baharu hadapi ancaman serantau

TLDM bakal memperkukuh keupayaan kombatannya menerusi perolehan beberapa aset strategik baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), susulan perkembangan geo-politik serantau terutama di perairan Laut China Selatan.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain berkata, antara aset yang akan diperoleh termasuk dua buah kapal Multi Role Support Ship (MRSS), tiga buah kapal Littoral Mission Ship Batch 3 (LMSB3) dan empat buah helikopter Anti-Submarine Warfare (ASW).
“Perolehan ini penting untuk memperkukuh elemen cegah rintang serta meningkatkan keupayaan kombatan TLDM dalam mendepani cabaran keselamatan maritim masa depan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut beliau, kesemua aset berkenaan dirancang untuk mula beroperasi sebelum tahun 2035 dan akan dibangunkan melalui kerjasama strategik antara limbungan tempatan dan antarabangsa.

“Pendekatan ini diambil bagi memperkasakan industri pertahanan negara ke arah mencapai tahap kendiri sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pengeluar peralatan asal (OEM) luar negara,” katanya.
Tambahnya, langkah itu sejajar dengan aspirasi Kementerian Pertahanan untuk membangunkan ekosistem pertahanan yang berdaya saing dan berkeupayaan menyokong kesiapsiagaan angkatan tentera negara dalam jangka masa panjang.
Selain itu perolehan empat buah helikopter Anti-Submarine Warfare (ASW) merupakan satu keperluan kritikal dalam usaha mempertingkatkan keupayaan tempur bawah permukaan TLDM sejajar dengan peningkatan ancaman keselamatan maritim di rantau ini.
Zulhelmy berkata, helikopter tersebut bukan sahaja mampu melaksanakan misi ASW, tetapi turut berperanan dalam operasi Anti-Surface Warfare (ASuW) bagi mempertahankan perairan negara.
“Helikopter ASW ini akan menjadi elemen utama dalam memperkukuh keupayaan tempur TLDM khususnya dalam dimensi peperangan bawah permukaan yang sebelum ini tidak dimiliki oleh TLDM secara organik dari udara,” katanya.
TLDM rancang perluas penggunaan dron dan AI
TLDM terus memperkukuh keupayaan masa depannya dengan perancangan strategik melibatkan perolehan aset baharu termasuk kapal selam tambahan, sistem dron maritim serta teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan pertahanan siber.

Zulhelmy berkata, perolehan ini akan meningkatkan keupayaan peperangan bawah permukaan, selain memperkukuh aspek rondaan dan pemantauan strategik terutama di kawasan sensitif seperti perairan Sabah dan Laut China Selatan.
Menurut beliau, sejak tahun 2021, TLDM telah mengoperasikan sistem Unmanned Aerial System (UAS) yang kini dikendalikan oleh Skuadron 601 UAS, menjadikan TLDM antara cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah mengintegrasi keupayaan dron dalam operasi maritim.
“TLDM telah merancang untuk mengembangkan lagi penggunaan dron sebagai force multiplier dalam operasi pengawasan dan keselamatan perairan negara, sejajar dengan landskap ancaman maritim yang semakin mencabar,” katanya lagi.
Sementara itu, perolehan aset TLDM tidak hanya tertumpu kepada aset utama sahaja sebaliknya turut melibatkan aset dukungan seperti Fast Interceptor Craft (FIC).
Perolehan 19 buah FIC telah diluluskan pada tahun 2020 bagi menampung tempoh pelaksanaan Op Benteng.
Operasi tersebut dilaksanakan di sempadan perairan negara bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berisiko menyebarkan rantaian wabak Covid-19 ke Malaysia.
Ketika ini, TLDM telah menerima 14 buah FIC dan baki lima buah FIC dijangka diterima menjelang penghujung tahun 2025.
Pembinaan kapal LMSB2 ikut jadual, LCS diserah 2026- Mohamed Khaled

PEMBINAAN projek kapal Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) dan kapal tempur pesisir Littoral Combat Ship (LCS) kini berjalan lancar dan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, proses pembinaan LMSB2 kini telah memasuki fasa penting apabila upacara peletakan lunas (keel laying) disempurnakan di Istanbul Shipyard, Turkiye pada 8 April lalu.
“Upacara ini merupakan simbolik bermulanya fasa penyambungan blok-blok utama kapal di limbungan selepas fasa pemotongan besi yang telah dilaksanakan pada 4 Disember 2024.
“Setakat ini, pembinaan LMSB2 berjalan mengikut perancangan dan dijangka siap serta dilancarkan pada pertengahan tahun 2026, sebelum diserahkan kepada TLDM pada penghujung 2027,” katanya.
Sementara itu, mengenai perkembangan kapal LCS, Mohamed Khaled menegaskan kerajaan komited memastikan projek itu dapat disiapkan mengikut jadual.
“LCS 1 yang telah diluncurkan ke air tahun lalu dijangka diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026. Bagi LCS 2 pula, peluncuran dan upacara penamaan kapal dijangka sekitar Jun 2025 manakala LCS 3 dijangka diluncurkan pada Januari 2026.
“Pembinaan LCS 4 dan LCS 5 juga berjalan mengikut carta perbatuan dan jadual yang ditetapkan,” katanya.
Menurut beliau, TLDM melalui pasukan projek akan terus memantau kerja-kerja pembinaan secara berterusan.
“Dengan kesungguhan, komitmen dan sokongan padu semua pihak, projek strategik ini untuk keupayaan TLDM dan keselamatan negara insya-ALLAH akan dapat dijayakan sepenuhnya,” katanya.

INFO
• Sejarah penubuhan TLDM bermula dengan pembentukan The Straits Settlements Naval Volunteer Reserve di Singapura pada 27 April 1934, bertujuan membantu Tentera Laut Diraja British mempertahankan perairan Tanah Melayu.
• Selepas Perang Dunia Kedua, unit ini berkembang pesat hasil bantuan pihak British dan dikenali sebagai Malayan Naval Force (MNF) pada Disember 1948.
• Pada 29 Ogos 1952, MNF dianugerahi gelaran “Diraja” oleh Her Majesty Queen Elizabeth II dan ditukar nama menjadi Royal Malayan Navy.
• Selepas diserahkan secara rasmi kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1958, pasukan ini dinamakan Tentera Laut Diraja Malaya sebelum akhirnya dikenali sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 16 September 1963, bersempena pembentukan Malaysia.
Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Projek RKAT dalam pembinaan
• RKAT Pusat Hidrografi Nasional
• RKAT Pangkalan TLDM Kota Kinabalu
• RKAT Markas Wilayah Laut 2, Sandakan Perancangan bawah RMK13 (hingga 2035)
• RKAT Pangkalan TLDM Lumut
• RKAT Markas Wilayah Laut 3, Langkawi
Masyarakat setempat berpeluang mendekati warga Navy People melalui Hari Terbuka Armada (HTA) yang bakal dilaksanakan di beberapa lokasi Markas Formasi TLDM:
• Pangkalan TLDM Kota Kinabalu
• Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di Kuantan
• Pangkalan TLDM Langkawi
• Pangkalan TLDM Sandakan
• Sambutan Lumut, Bandar Tentera Laut di Lumut, Perak
Kapal Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2)
• Panjang: 99.5 meter.
• Berat sesaran: Lebih kurang 2,500 tan.
• Kelajuan maksimum: Melebihi 26 knot.
• Jarak operasi:
Lebih 4,000 batu nautika pada kelajuan pelayaran.
Sistem persenjataan:
• Dua buah meriam iaitu 30mm DS30M Mk2 berkeupayaan menembak sasaran permukaan dan udara jarak dekat.
• Misil Permukaan ke Permukaan iaitu Naval Strike Missile (NSM) berkeupayaan memusnahkan kapal perang musuh dengan jarak jauh.
• Torpedo Launching System (TLS) digunakan untuk melancarkan light weight torpedo untuk peperangan anti-kapal selam.
Kapal Littoral Combat Ship (LCS)
• Panjang: 111 meter
• Berat sesaran: ± 3,100 tan
• Kelajuan maksimum: 28 knot
• Jarak operasi: Lebih 5,000 batu nautika
• Boleh belayar selama 21 hari tanpa bekalan semula
Sistem Persenjataan:
Meriam utama:
• 1 x Meriam OTO Melara 57mm
Peluru berpandu anti-kapal:
• Exocet MM40 Block 3 (jangkauan ±180km)
Peluru berpandu anti-udara:
• MBDA VL MICA
• (jangkauan ±20km)
• Torpedo
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

