Bukan sekadar perhimpunan motosikal

JAMUAN Raya Family MT anjuran Duckside Bikers begitu meriah dengan kehadiran lebih 200 motosikal berkuasa tinggi Yamaha MT yang mewakili beberapa grup permotoran terutamanya di Lembah Klang.
Program yang dianjurkan buat julung kalinya di Ipoh Night Market itu turut menarik perhatian dengan deruman motosikal tiga silinder Crossplane (CP3) sehingga memecah keheningan bandar Ipoh, Perak yang menjadi lokasi pilihan.
Antara yang turut serta dalam acara tersebut ialah MT Kuda Liar (MTKL), Perak MT Riders (PMTR), Duckside Bikers, MT Gombak, Prime V3, Bunian Bikerz, MT Fighter, Santai Crew, Bantai Crew, MT Trooper, MT Bamboo, Wolf Bikers, MT07 Malaysia, MTBC dan Dark Shinobi.

Pelbagai aktiviti dan hadiah cabutan bertuah menarik telah disediakan untuk program yang bermula jam 12 tengah hari hingga 5 petang, pada 26 April lalu itu.
Wakil penganjur, Mohamad Sumardi Mohamad Jais dari Duckside Bikers berkata, mereka cukup gembira dengan kejayaan penganjuran program itu yang dianjurkan buat pertama kali.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli motosikal yang terlibat, MTKLR yang mempercayai serta menyokong penuh kepada Duckside Bikerz menguruskan acara ini.
“Terima kasih juga kepada PMTR selaku tuan rumah untuk Jamuan Raya Family MT 2025 ini,” katanya.
Beliau berkata, ada ahli yang datang daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Semangat seperti ini yang kita mahukan kerana tak kira daripada mana kita datang, daripada mana group pemotoran itu datang, tujuan kita adalah nak berkawan.
“Yamaha MT boleh dikatakan antara hot naked bike di Malaysia. Hobi dan minat kita sama iaitu pencinta dua roda. Apa yang penting kita tak select,” katanya.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Adie berkata, sudah hampir empat tahun Family MT tidak berkumpul dalam kapasiti yang besar seperti itu.
“Tentu ramai yang masih ingat lagi Ride Nasi Pakistan Batu Pahat Johor, hampir 450 motosikal Yamaha MT yang menyertai.
“Setelah hampir empat tahun kita tidak berkumpul sebegini ramai, hari ini kita berkumpul semula. Terima kasih sahabat-sahabat semua menjadikan majlis ini satu realiti,” katanya.
Cipta kenangan
Beliau berkata, Jamuan Raya Family MT bukan sekadar perhimpunan motosikal tetapi medan untuk mengeratkan silaturahim serta ukhuwah, bukan sahaja bersama pemilik Yamaha MT, tetapi juga peminat motosikal berkuasa besar yang lain.
“Motosikal kita boleh bertukar ganti. Persahabatan tiada galang gantinya. Kita yang cipta kenangan bersama sahabat-sahabat group pemotoran.
“Biarlah memori yang kita cipta bersama sahabat-sahabat kita yang indah-indah belaka,” katanya yang berasal dari Bukit Beruntung, Rawang.
Apa yang paling penting katanya, kesepakatan di antara grup pemotoran dan ahli perlu berpegang dengan kata pepatah, ‘bersatu kita teguh bercerai kita roboh’.
“Sematkan peribahasa ini dalam diri kita, Insya-ALLAH segala urusan kita dengan niat yang betul akan dipermudahkan.
“Jadikan event ini titik permulaan untuk kita maju dan langkah ke hadapan di bawah nama Family MT,” katanya.
Sementara itu, wakil MTKL, Shahrul Erman Selamat berkata, tanpa sokongan semua ahli, tidak mungkin program tersebut dapat dijayakan dengan penuh gilang-gemilang.
“Dengan ukhuwah dan persahabatan kita yang terjalin kuat, tak mustahil kita boleh buat event yang lebih besar. Contohnya mega gathering Yamaha MT Family,” katanya.
Wakil Bunian Bikerz, Sharizal Kamarulzaman pula berkata, walaupun berlangsung dalam suasana yang santai, rata-rata peserta amat berpuas hati dengan penganjuran program seperti itu.
“Kami harap program seperti ini dapat dianjurkan lebih kerap pada masa akan datang bagi mengeratkan semangat kekeluargaan dalam kalangan pemilik Yamaha MT,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!