Petronas Gas sediakan tambahan bekalan gas di Puchong City Gate

PGB sedia tambahan bekalan 24 MMscfd ke Puchong City Gate bagi menyokong pemulihan kawasan terjejas susulan insiden letupan paip gas di Putra Heights - Gambar hiasan
PGB sedia tambahan bekalan 24 MMscfd ke Puchong City Gate bagi menyokong pemulihan kawasan terjejas susulan insiden letupan paip gas di Putra Heights - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Petronas Gas Berhad (PGB) akan menyediakan tambahan bekalan gas sebanyak 24 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) ke zon terasing di Puchong City Gate sebagai usaha menyokong kawasan yang terjejas akibat insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini.

PGB dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, langkah itu adalah inisiatif pemulihan bekalan gas melalui kerjasama rapat bersama Gas Malaysia Berhad (GMB).

“PGB akan menyediakan tambahan bekalan gas sebanyak 24 MMscfd ke zon terasing di Puchong City Gate.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada koordinasi berterusan bersama GMB bagi meningkatkan jumlah bekalan dalam rangkaian pengedaran gas mereka,” kata kenyataan itu.

Pada 1 April lalu, satu insiden letupan dan kebakaran besar melibatkan saluran paip gas milik Petronas berlaku di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.

Kebakaran tersebut menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden ini mengakibatkan kerosakan teruk kepada kawasan perumahan berhampiran, dengan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 rumah mengalami kerosakan separa, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar dan 218 rumah tidak terjejas.

Sebanyak 112 individu dilaporkan cedera, dengan 63 orang dirawat di hospital dan 49 lagi menerima rawatan di pusat perubatan sementara di rumah ibadat berdekatan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, PGB memaklumkan, peruntukan tambahan tersebut dijangka dapat terus menyokong kestabilan bekalan gas di zon terasing dan memperbaiki keadaan bekalan gas secara keseluruhan.

“PGB kekal komited dalam menyokong usaha pemulihan dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa serta pihak berkepentingan yang berkaitan bagi memastikan kestabilan bekalan gas ke kawasan terjejas,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!