Pempengaruh Aliff Ahmad puji layanan SKMM, polis

Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan pempengaruh dipanggil SKMM kononnya berkaitan 'scrut' Nurul Izzah
Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan pempengaruh dipanggil SKMM kononnya berkaitan 'scrut' Nurul Izzah
A
A
A

SHAH ALAM – Pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad memuji layanan baik yang diterimanya daripada pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ketika hadir memberi keterangan berhubung satu hantaran di Facebook berkaitan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.

Aliff berkata, beliau disambut oleh beberapa pegawai SKMM sebaik tiba untuk sesi soal siasat berhubung tawarannya melakukan carian latar belakang terhadap Nurul Izzah sekiranya hantaran tersebut memperoleh 20,000 perkongsian.

“Setibanya aku di sana, aku disambut oleh pegawai-pegawai dan salah seorangnya ialah Encik Zaman. Orangnya baik, senyum sahaja.

“Siap jemput aku dan rakan-rakan ke kafe, sarapan dahulu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, Jumaat.

Menurutnya lagi, sesi sarapan pagi itu turut disertai oleh seorang anggota polis dari Bukit Aman yang menurutnya juga bersikap baik.

Aliff berkata, selepas selesai bersarapan, beliau dibawa ke bilik siasatan bersama dua peguamnya, Haziq Subhi dan Hafiz Norkhan. Sepanjang proses itu, beliau mendakwa telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Menurut Aliff, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu berhubung penyalahgunaan kemudahan rangkaian internet untuk menyebarkan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik.

Bagaimanapun, Aliff mempersoalkan elemen kandungan mana dalam hantarannya yang boleh diklasifikasikan sebagai melanggar peruntukan tersebut.

“Pegawai yang terlibat tidak mampu menjawab, hanya menyatakan mereka menjalankan tugas dan mengikut arahan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Aliff turut memaklumkan beliau telah menyediakan satu Akuan Bersumpah (SD) mengakui bahawa laman Facebook “Aliff Ahmad” adalah miliknya dan hantaran tersebut ditulis olehnya sendiri.

Katanya, beliau bersedia untuk didakwa dan menganggap ia sebagai langkah yang adil, berbanding siasatan yang tidak membawa kepada tindakan perundangan.

“Saya berharap siasatan ini akan didakwa. Jika tidak, ia adalah satu bentuk intimidasi, membuang masa dan sumber kerajaan. Saya mohon maaf kepada pihak SKMM atas tindak balas yang saya lakukan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!