Nurul Izzah nafi lapor SKMM siasat pempengaruh

Tangkap layar Facebook Nurul Izzah. Gambar kanan: NURUL IZZAH
Tangkap layar Facebook Nurul Izzah. Gambar kanan: NURUL IZZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menafikan dakwaan pihaknya membuat sebarang laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung hantaran seorang pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad.

Malah beliau menegaskan, pempengaruh itu tidak sepatutnya disiasat hanya kerana menawarkan khidmat membuat carian latar belakang terperinci ke atasnya melalui sistem 'Scrut Analytica'.

"Adalah penting untuk semua pihak berhati-hati dalam membuat tuduhan yang boleh mencemarkan reputasi dan menjejaskan kredibiliti mana-mana pihak tanpa asas yang kukuh.

"Saya tidak mengenali atau pernah bertemu dengan beliau (Aliff). Saya juga tidak pasti cara beliau mencari rezeki, tetapi sudah tentunya kita harus menyokong segala usaha yang mengikuti garis panduan undang-undang," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, SKMM telah memanggil seorang pempengaruh untuk disoal siasat berhubung siaran Facebook yang menawarkan carian latar belakang terperinci terhadap anak kepada Perdana Menteri itu.

Dalam hantaran tersebut, Aliff menawarkan semakan terhadap pekerjaan dan sumber pendapatan Nurul Izzah sekiranya mendapat 20,000 perkongsian di Facebook.​

Susulan itu, dia menerima notis daripada SKMM yang memanggilnya untuk hadir ke ibu pejabat agensi berkenaan di Cyberjaya pada jam 8 malam Khamis.

Aliff sebaliknya menuntut pihak berkuasa mengemukakan waran tangkap.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Nurul Izzah menjelaskan, beliau mengetahui perkara tersebut setelah dimaklumkan oleh aktivis politik, Liyana Marzuki dan beberapa rakannya.

"Kita berpegang kepada prinsip berani kerana benar. Moga ALLAH SWT memberkati segala usaha kita," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!