Belajar secara santai tapi 'padu' kunci kejayaan 9A Yusrahanis

MELAKA - Seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah di sini, membuktikan bahawa pendekatan belajar secara santai namun konsisten mampu membuahkan hasil cemerlang apabila berjaya memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Yusrahanis Nadilah Yusmanezam,18, berkongsi teknik belajar yang diamalkannya sepanjang tempoh persekolahan, termasuk mengaitkan pembelajaran dengan kehidupan harian secara santai bagi menjadikan proses pelajaran lebih bermakna, mudah diingati dan menyeronokkan.
“Saya nampak apa saya belajar dalam kehidupan saya contohnya, kalau nampak tiang berkarat masa berjalan, terus teringat topik kimia.
"Lepas tu cuba mengingati semula apa yang telah kita pelajari," katanya yang berhasrat untuk menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau Universiti Malaya (UM).

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia lebih gemar menyalin nota pelajaran sendiri dan membaca semula nota tersebut mengikut jadual belajar setiap malam sebelum tidur.
“Saya tak boleh belajar guna nota secara dalan talian atau kawan punya.
"Jadi saya perlu tulis sendiri masa cikgu mengajar dan setiap malam saya baca balik nota-nota ikut jadual subjek,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya bagi subjek-subjek pengiraan seperti matematik dan fizik, dia yang berasal dari Paya Rumput menetapkan sasaran untuk menjawab sekurang-kurangnya satu soalan sehari sebagai latihan.
"Walaupun kesibukan belajar namun percaya rehat juga penting dan mendorong kepada kejayaan," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!